8 Cara Atasi Sembelit Ketika Hamil Dengan Mudah


Sembelit adalah perkara biasa yang terjadi kepada wanita hamil. Sebanyak 38% daripada ibu-ibu hamil akan mengalami sembelit. Sembelit dalam bahasa mudahnya adalah kesukaran untuk membuang air besar.

Sembelit adalah kesan daripada pergerakan usus yang tidak konsisten menyebabkan pergerakan najis menjadi perlahan di dalam usus yang berterusan selama beberapa minggu atau lebih lama.

Simptom-simptom anda mengalami sembelit adalah:

  • Menghasilkan najis yang keras dan
  • Perlu meneran dengan kuat semasa membuang air besar
  • Mengalami ketidakselesaan atau kesakitan di bahagian bawah abdomen

Wanita yang mengalami sembelit semasa kehamilan juga mungkin mengalami kembung, angin, dan buasir.

Apa sebab-sebabnya terjadi masalah sembelit ketika hamil ini ya?

 

Punca-Punca Sembelit Semasa Kehamilan

Banyak faktor yang membawa kepada masalah sembelit ini lagi-lagi semasa sedang hamil. Semasa kehamilan badan kita mengalami perubahan-perubahan dari segi dalaman dan juga luaran. Ini terjadi supaya badan kita dapat memberikan persekitaran yang baik dan kondusif untuk bayi di dalam perut kita.

Mari kita lihat sebahagian daripada punca-punca sembelit semasa hamil.

Foto Kredit: pregnancyandbaby.com

1. Perubahan Hormon

Semasa mengandung, hormon seperti progesteron akan meningkat dan mengurangkan kadar hormon motilin iaitu hormon yang membantu mengawal saluran pencernaan. Perubahan hormon ini menyebabkan otot di usus berubah menjadi keadaan berehat dan sisa makanan di dalam usus bergerak pelahan. Situasi ini membolehkan lebih banyak penyerapan nutrien berlaku tetapi juga boleh menyebabkan perut tidak selesa.

2. Suplemen Tambahan

Suplemen prenatal seperti zat besi dapat memberikan vitamin dan mineral tambahan untuk menyokong pertumbuhan bayi kita, tetapi peningkatan zat-zat seperti zat besi dan kalsium cenderung menyebabkan sembelit semasa kehamilan.

3. Jangan makan terlalu banyak pada waktu makan

Saiz hidangan yang besar atau makan banyak semasa waktu makan boleh menambahkan beban terhadap saluran penghadaman anda. Cuba makan enam mini-saiz hidangan makanan sehari berbanding tiga saiz hidangan yang besar Ini juga membantu perut anda kurang  angin dan kurang kembung.

[Baca juga : Senaman Kegel Untuk Bersalin Tanpa Koyak]

4. Kurangnya aktiviti fizikal

Kajian menunjukkan bahawa kurangnya pegerakan fizikal boleh melambatkan kekerapan pergerakan usus kita. Morning sickness dan merasa letih semasa mengandung menyebabkan ibu-ibu kurang aktif secara fizikal dan ini memudahkan sembelit berlaku.

5. Perubahan diet

Sama ada disebabkan morning sickness atau mengidam makanan yang jarang dimakan, perubahan diet mungkin berlaku terhadap ibu mengandung. Perubahan diet secara tiba-tiba ditambah dengan makanan yang kurang fiber atau serat akan mengundang sembelit kepada ibu mengandung.

6. Tumbesaran bayi

Apabila bayi semakin membesar, tekanan dalam usus akan bertambah dan boleh melambatkan pencernaan makanan.Pergerakan otot di dalam usus akan menjadi sukar dan meyebabkan sisa makanan juga akan bergerak perlahan semasa melalui usus besar.

7. Emosi

Emosi menjejaskan kesihatan anda semasa kehamilan. Terlalu banyak merasa resah dan bimbang boleh menyebabkan sembelit.

 

Sembelit Tanda Anda Hamil?

Ya! Sembelit mungkin adalah antara tanda yang membawa berita baik kepada anda. Lagi-lagi buat ibu bapa yang sedang menanti untuk menimang cahaya mata. Ini kerana sembelit boleh menjadi tanda yang anda telah hamil.

Apabila telur ataupun ovum dan sperma bersatu, tanda kehamilan bermula, tahap hormon progesterone dalam badan anda akan mula meningkat. Tahap progesterone yang tinggi ini membuatkan lapisan rahim anda terus menebal bagi menjadikannya satu tempat yang kondusif dan sesuai untuk bayi membesar.

Malangnya, seperti yang dinyatakan di atas, progesteron menjadikannya dinding usus kurang mampu bagi menggerakkan bahan buangan melaluinya dan akhirnya menyebabkan sembelit.

Jadi macam mana nak elakkan atau merawat sembelit semasa hamil ni?

 

Rawatan Atau Pencegahan Sembelit Semasa Kehamilan

Rawatan dan pencegahan hampir melibatkan langkah yang sama. Di bawah adalah beberapa tip yang dapat membantu anda.

1. Mengambil makanan tinggi serat
makanan berkhasiat untuk ibu hamil

Cuba amalkan makanan tinggi serat seperti bijirin, roti, beras perang, kacang, buah-buahan, dan sayur-sayuran dalam diet harian anda. Makanan tinggi serat ini berfungsi membantu mengumpul sisa makanan di dalam usus dan membuat mereka lebih mudah melalui usus.

2. Minum banyak air masak
Pengambilan air adalah penting apabila anda meningkatkan pengambilan serat. Gabungan kedua-duanya akan membantu dalam proses pembuangan sisa makanan kita. Minum kira-kira 10 hingga 12 gelas air setiap hari. Di samping itu, segelas jus buah-buahan juga boleh membantu.

Cuba minum air suam atau air panas bersama lemon, untuk membantu merangsang peristalsis (kontraksi usus yang membantu pergerkan sisa makanan). Jus prun adalah pilihan yang baik untuk kes yang sukar, kerana ia adalah sejenis julap ringan.

3. Senaman yang sederhana

Jika kita aktif melakukan aktiviti fizikal, sembelit tidak akan menjadi masalah. Berjalan, berenang, menunggang basikal bersandar, dan yoga secara teratur membantu usus dan merangsang pergerakan usus anda. Rancanglah rutin senaman dengan berbincang dengan doktor.

4. Mengurangkan pengambilan suplemen zat besi

Jika perlu mengambil suplemen zat besi, hadkannya kepada dos yang lebih kecil. Tetapi terlebih dahulu, berbincanglah dengan doktor untuk menentukan dos dengan baik kerana zat besi diperlukan bagi menaikkan HB.

5. Jangan tahan untuk membuang air besar

Apabila rasa hendak ‘membuang’ teruskan pergi ke tandas. Kerap menangguhkannya boleh melemahkan otot-otot usus dan menyebabkan sembelit, jadi selesaikan ‘nature call’ anda secepat mungkin.

6. Amalkan probiotik

Asidophilus probiotik, yang terdapat dalam yogurts mengandungi kultur aktif yang boleh merangsang bakteria dalam usus untuk memecahkan makanan dengan lebih baik. Sisa makanan akan bergerak lebih baik di dalam usus.

Anda juga boleh meminta doktor atau ahli farmasi untuk mencadangkan suplemen probiotik dalam bentuk kapsul, sama ada yang boleh dikunyah atau yang berbentuk serbuk yang boleh ditambah ke dalam smoothie.

7. Meditasi dan menenangkan diri

Stress dan tekanan juga boleh mempengaruhi sistem pencernaan. Apabila sistem saraf anda terlalu kuat bekerja, ia boleh mempunyai kesan kepada tubuh anda. Tarik nafas dengan panjang, berjalan kaki, mandi buih, atau cuba sesuatu yang bersifat meditatif dan santai.

8. Amalkan senaman Kegel & Mencangkung

senaman otot lantai pelvik

 

Latihan kegel boleh membantu otot usus berfungsi lebih baik jika diamalkan dengan kerap. Tandas cangkung juga baik untuk ibu hamil yang mengalami sembelit kerana ia membantu pergerakan usu. Senaman squat juga boleh menghalang sembelit dan buasir. Sekiranya menggunakan tandas duduk, cuba tongkatkan kaki dengan bantuan tapak kaki untuk membantu supaya kekal dalam kedudukan mencangkung.

Di atas ialah rawatan secara semula jadi yang agak mudah untuk diikuti tetapi anda boleh dapatkan bantuan dari doktor sekiranya tidak memebri kesan yang positif.

[Baca juga : Boleh Ke Minum Teh Hijau Semasa Hamil?]

Rawatan Yang Doktor Akan Cadangkan Untuk Atasi Sembelit

Ada beberapa ubat yang biasanya dicadangkan oleh doktor apabila tiada cara semulajadi yang berkesan.

Pelembut bahan buangan seperti Colace dan Metamucil (kategori B) membantu memudahkan pergerakan usus dan merawat sembelit. Mereka hanya boleh digunakan untuk tempoh yang singkat kerana penggunaan jangka panjang boleh menyebabkan dehidrasi dan menjejaskan keseimbangan elektrolit dalam sistem badan kita.

Tidak semua ubat julap dan pelembut najis (terutama herba atau buatan sendiri) selamat digunakan selama kehamilan. Berbincang dengan doktor anda sebelum mengambil ubat sembelit.

 

Makanan Yang Dapat Mencegah Sembelit

snek buah buahan untuk bayi 9-11 bulan

Kami senaraikan beberapa makanan yang perlu dimasukkan ke dalam diet harian untuk membantu melawan sembelit.

  • Buah-buahan segar – Guava (jambu batu), buah jeruk, anggur, dan limau manis
  • Sayuran segar seperti kubis, kancing air, dan saderi
  • Sayuran berdaun termasuk bayam, brokoli, salad, sayur-sayuran Cina adalah pilihan yang baik
  • Lobak, ubi jalar, labu
  • Buah-buahan dan kacang-kacangan kering termasuk prun, aprikot, kismis, badam, dan kacang brazil
  • Berries – strawberi, raspberi, blueberri, dan cranberri
  • Beras perang, bijirin
  • Oat yang tidak diproses

Nota: Anda boleh mulakan dengan memakan buahan segar, sayuran, atau salad

 

Bolehkah Sembelit Membahayakan Kandungan?

Banyak wanita hamil yang mengalami kesakitan akibat sembelit risau akan perkara ini, tetapi sembelit semasa kehamilan tidak akan membahayakan bayi di dalam perut.

Satu lagi perkara yang baik perlu anda ketahui ialah jika anda menggunakan julap, ubat semeblit, (dengan kebenaran daripada doktor) kebanyakan julap tidak diserap dengan baik ke dalam badan dan tidak terbukti menjadi risiko kepada bayi.

Apa yang perlu dirisaukan ialah diri ibu sendiri. Dalam sesetengah kes, sembelit semasa mengandung boleh membawa kepada gejala-gejala kehamilan yang lebih tidak selesa dan serius, termasuk buasir dan pendarahan rektum.

Bertabahlah ibu-ibu! Jangan risau dan amalkan tip-tip di atas okey!

 

Adakah Sembelit Ini Boleh Berakhir Semasa Kehamilan?

Tahap hormon progesteron yang tinggi menyebabkan sembelit boleh berlaku sepanjang tempoh kehamilan. Tetapi dengan mengubah tabiat makan dan melakukan aktiviti fizikal keadaan boleh menjadi lebih baik. Teruskan berusaha bakal ibu!

 

Rujukan : Mama Natural, Mom Junction, what to expect.


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *