5 Petua Bayi yang Ibu Bapa Harus Tinggalkan

Petua bayi sedu letak kertas basah atas dahi? Kulit bayi ekzema sapu dengan tepung ubi? Pasti ibu bapa sudah biasa terdengar petua sebegini daripada orang-orang tua bukan?

Percaya atau tidak, kebanyakan petua turun temurun ini merupakan mitos. Apa yang sering berlaku sebenarnya, keberkesanan petua tersebut hanyalah kebetulan sahaja dan tiada bukti saintifik.

Lebih berbahaya jika petua tersebut boleh memudaratkan si kecil. Jom ketahui apakah petua bayi yang sebenarnya mitos!

1. Elakkan bayi memakai baju kuning semasa demam kuning

Masih ada ibu bapa dan orang-orang tua percaya jika bayi dipakaikan dengan benda berwarna kuning akan menyebabkan demam kuning lambat hilang. Tiada bukti saintifik yang mengaitkan demam kuning dengan warna kuning daripada persekitaran. Ini adalah mitos!

Demam kuning adalah sesuatu yang sangat normal berlaku pada bayi yang baru lahir. Ia terjadi kerana organ hati bayi masih belum matang untuk membuang bahan toksik semulajadi di dalam badan.

Bilirubin adalah salah satu bahan buangan semulajadi berwarna kuning yang harus disingkirkan. Disebabkan hati belum matang, proses pembuangan bilirubin daripada badan tidak efisien. Ini menyebabkan ia berkumpul di dalam saluran darah sehingga menyebabkan kulit berwarna kekuningan.

Demam kuning boleh dirawat dengan sinaran UV di hospital.

2. Walker boleh membantu anak cepat berjalan

Anda berkira-berkira membeli walker supaya si kecil cepat berjalan? Lupakan hasrat itu kerana walker langsung tidak membantu anak berjalan cepat. Untuk tumbesaran yang normal, bayi perlu belajar menggunakan kesemua otot-ototnya untuk bergerak secara berperingkat. Bermula daripada menggulingkan badan, merangkak dan perlahan-lahan menguatkan kaki untuk berjalan.

Walker sebenarnya boleh melambatkan proses perkembangan anak untuk berjalan.

Jika bayi menggunakan walker, belum sempat lagi belajar merangkak, sudah diletakkan dalam walker untuk berjalan. Ini akan menyebabkan otot lemah kerana tidak dilatih berdiri sendiri secara berperingkat. Elok-elok anak boleh jalan semasa 12 bulan, akhirnya hanya boleh berjalan selepas 14 bulan! Petua cepat berjalan dengan walker

3. Sapu tepung ubi pada kulit ekzema bayi

Ini merupakan petua dahulukala yang sebenarnya boleh memudaratkan bayi. Menyapu tepung ubi pada kulit bayi yang ekzema hanya akan menerukkan lagi kulit. Kulit ekzema adalah sangat sensitif dan mudah mendapat jangkitan kuman. Apabila tepung ubi disapu pada kulit, kita tidak tahu akan kebersihan tepung tersebut.

Bakteria daripada tepung ubi boleh menyebabkan jangkitan berbahaya pada kulit. Ini hanya akan menyebabkan kulit semakin gatal.

Tips sebenar kulit ekzema ialah, ia perlu sentiasa lembap. Kulit akan menjadi lebih gatal jika dibiarkan kering.

Tips mengurangkan gatal ekzema
  • Meletakkan minyak sapu pada kulit
  • Menyapu krim pelembap
  • Mandikan bayi dengan lebih kerap terutamanya pada cuaca panas kering agar kulit sentiasa lembap.

4. Daun sireh/jambu/kunyit diletakkan atas perut untuk menghilangkan kembung

Ini juga antara petua yang biasa kedengaran apabila bayi perut kembung. Daun akan dilayurkan diatas api kemudian diletakkan di atas perut bayi. Kaedah ini sebenarnya tidak berkesan kerana tiada bukti saintifik mengaitkan daun spesifik tersebut dengan perut kembung.

Cara yang terbaik untuk mengurangkan perut kembung ialah dengan menuam perut bayi.

Tuam boleh dibuat menggunakan apa sahaja alat tuam yang sesuai. Tuala yang diseterika sehingga sedikit panas juga boleh dijadikan sebagai alat tuam. Namun pastikan suhu tidak terlalu panas sehingga boleh menyebabkan kulit melecur. Pelbagai lagi tips atasi kembung perut di sini (klik).

5. Kanak-kanak berpenyakit asma tidak boleh bersukan

Semakin ramai anak-anak menghidap asma. Namun ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk melarang mereka bermain. Ibu bapa seharusnya membenarkan mereka bersukan selagi mana mereka mampu.

Bersukan sebenarnya sangat bagus untuk tumbesaran paru-paru yang sihat.

Apa yang penting, mereka perlu sentiasa melakukan rawatan susulan dan berterusan. Ubat asma seperti inhaler juga harus ada semasa mereka bersukan. Tetapi, mereka tidak seharusnya terlalu bergantung pada ubat jika mereka masih boleh mengawal pernafasan.

Anak asma tidak boleh bersukan? Apa-apa pun, ibu bapa perlu mendapatkan nasihat doktor tentang asma dan bersukan. Bukan sewenang-wenangnya melarang penyertaan anak dalam sukan.

Paru-paru yang sihat akan menjadikan mereka lebih mudah melawan penyakit. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengenal pasti punca asma anak dan cuba jauhinya. Sebagai contoh asap rokok, bulu kucing atau habuk.

Kesimpulan

Mitos-mitos seperti ini harus ditinggalkan dan dihentikan daripada terus tersebar dalam kalangan masyarakat. Bukan sahaja ia tidak berkesan, malah boleh memudaratkan. Kita sebagai generasi teknologi yang mudah menerima segala maklumat di hujung jari perlu lebih bijak menapis info-info yang ditemui.

Sebenarnya setiap anak adalah berbeza. Tidak semestinya jika petua itu berkesan pada anak orang lain, ia akan berkesan juga dengan anak kita. Apa yang paling penting ialah kita perlu memastikan sebarang informasi mengenai kanak-kanak mempunyai bukti saintifik yang kukuh.Jadilah ibu bapa yang celik ilmu!

Adakah anda pernah mendengar sebarang mitos selain daripada ini? Jom kongsikan pada komen! Sumber: DoktorBudak.com Sumber gambar: mirror.co.uk, momtrick.com, independent.co.uk

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *