6 Sebab Kehamilan Kedua Tak Sama Dengan Kehamilan Pertama

bersalin anak kedua

Mungkin ada ibu yang rasa mereka sepatutnya lebih bersedia untuk menghadapi kehamilan kedua kerana mempunyai pengalaman bersama anak pertama. Tapi hakikatnya, kehamilan kali kedua tidaklah semudah yang anda sangkakan. Malah, ramai wanita mengaku yang mereka sangat emosional dan diselubungi pelbagai perasaan yang sukar digambarkan semasa hamil kali kedua.

Adakah anda juga kini mengalaminya?

6 Sebab Kehamilan Kedua Tak Sama Dengan Kehamilan Pertama

Jauh daripada yang kita sangkakan, kehamilan kali kedua sebenarnya amat berbeza berbanding kehamilan pertama. Ini antara sebabnya:

1. Anda Rasa ‘Bersalah’

Walaupun anda berharap untuk menambah ahli baru dalam keluarga, jauh di sudut hati timbul rasa bersalah dan risau sekiranya anda belum cukup memberikan sepenuh perhatian kepada anak sulung anda.

Perasaan ini normal, tetapi ia lebih lagi dirasai oleh ibu yang cepat hamil tanpa dirancang. Nak pula kalau masih menyusu badan dan belum cukup 2 tahun. Tentu rasa sedih jika mereka terpaksa diceraikan susu atas alasan kesihatan yang tidak mengizinkan!

2. Kurang Mengikuti Tips & Perkembangan Bayi

Semasa kehamilan pertama, mungkin kita subscribe pelbagai newsletter serta menggunakan aplikasi telefon pintar yang tertentu untuk mengetahui perkembangan bayi dalam kandungan.

Sebaliknya, menjelang bersalin anak kedua, semua informasi ini bagaikan telah ada dalam minda. Hanya sekali-sekala, kita mencari maklumat dan membaca bahan berkaitan kehamilan dan kelahiran.

3. Kurang ‘Shopping’

Dahulu, pening kepala juga memikirkan apa lagi barang yang belum dibeli untuk menyambut kelahiran bayi. Berbeza semasa hampir ‘due date’ bersalin anak kedua, kebanyakan barang telah tersedia dan sebahagian besar masih boleh digunakan lagi.

Secara tak langsung, kita kurang ‘shopping’ melainkan beberapa perkara yang betul-betul perlu – itupun ‘last minute’!

4. Ianya Lebih Meletihkan

Oleh kerana kehamilan ini merupakan kali kedua, kita menyangka bahawa anda boleh menguruskan semua perkara dengan mudah. Namun sebaliknya, ia tetap meletihkan; terutamanya jika anak sulung anda masih kecil dan masih menyusu.

Malah, anda cenderung untuk stres dan kurang tidur dek kerana membawa kandungan dan juga penat melayan anak sulung.

5. Proses Bersalin Tidak Seperti Yang Anda Jangkakan

Anda telah membuat pelbagai persediaan dan anda menjangkakan proses kelahiran yang lebih lancar dan cepat. Walaupun ianya benar bagi kebanyakan wanita, namun ada juga segelintir wanita yang mempunyai lebih masalah pada kehamilan kedua.

Atas peningkatan faktor usia, ia boleh menyebabkan kita berada dalam pantauan yang lebih rapi kerana pertambahan usia cenderung untuk memiliki lebih banyak masalah kesihatan.

6. Perlu Lebih Pertolongan

Selepas bersalin anak kedua, kebanyakan wanita lebih selesa untuk berpantang sendiri di rumah. Berbekalkan pengalaman dalam kehamilan pertama, kita berasakan kita boleh menempuhnya seorang diri.

Walaupun kita sudah membuat persediaan dan tahu apa yang perlu dilakukan, kita baru perasan betapa sukarnya untuk menguruskan diri, anak kecil, bayi, dan keperluan rumah. Oleh itu, jangan teragak-agak untuk meminta bantuan suami.

bersalin anak kedua
Foto Kredit: parents.com

Apapun, Setiap Kehamilan Adalah Amat Istimewa!

Sebenarnya, setiap kehamilan itu adalah unik dan tiada satu pun yang sama 100%. Oleh itu, sediakanlah mental dan fizikal anda dan jangan terlalu stres memikirkan emosi yang menyelubungi.

Percayalah, setiap kehamilan adalah anugerah yang sangat istimewa!


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *