Selamatkah Teh Hijau Untuk Ibu Mengandung? Ketahui Khasiat & Risikonya


Green tea atau teh hijau amat terkenal sebagai minuman yang diminum bagi tujuan kesihatan. Amalam minum teh untuk menyegarkan badan dan sekaligus mendapatkan khasiat daripadanya sudah menjadi amalan orang Asia sejak beribu-ribu tahun lamanya. Di sesetengah negara seperti Korea, China dan Jepun, ia dinikmati sebagai minuman harian yang cukup menyegarkan.

Selamatkah Teh Hijau Untuk Ibu Mengandung?

Menurut pakar pemakanan melalui BabyCenter, tiada larangan khusus yang mangatakan bahawa teh hijau mesti dielakkan sepanjang kehamilan. Ini kerana, teh hijau mempunyai kebaikannya yang tersendiri.

Walaubagaimanapun, ia perlulah diminum dalam kuantiti yang tidak keterlaluan kerana ia tetap mengandungi beberapa bahan yang boleh memberi kesan sampingan.

Sebelum mengetahui risikonya, kita kupas dahulu sedikit sebanyak tentang kebaikan teh hijau untuk ibu mengandung.

Khasiat Teh Hijau Untuk Ibu Mengandung

Memang  tidak dapat disangkal lagi teh hijau mempunyai seribu satu kebaikan untuk kesihatan. Ibu mengandung juga disarankan untuk mengamalkan teh hijau untuk kesihatan diri dan kandungan.

1. Mengurangkan Risiko Diabetes

Badan ibu mengandung mengalami perubahan hormon bagi mencapai persekitaran sesuai untuk perkembangan bayi. Kesan hormon yang ada pada ibu mengandung membuatkan insulin pada badan susah untuk menyerap gula supaya seimbang dalam darah. Oleh itu, ibu mengandung mudah mengalami paras gula tinggi dalam badan.

Teh hijau dapat membantu merangsang tindakan insulin untuk mengawal paras glukosa dalam badan dan seterusnya mengurangkan risiko diabetes. Lebih-lebih lagi sewaktu mengandung ini kita lebih mengidam makan makanan manis. Selain berfungsi untuk mengawal paras gula dalam badan, pengambilan teh hijau juga dapat mengurangkan risiko darah tinggi pada ibu mengandung

2. Menguatkan Tulang

Satu kajian menunjukkan bahawa wanita Asia yang mengamalkan minum teh sejak dulu kurang berisiko menghidap osteoporosis berbanding wanita Barat. Teh hijau mengandungi kandungan anti-radang yang terbukti dapat menguatkan tulang.

Jika ibu mengandung tidak mendapatkan zat kalsium yang cukup, kesihatan bayi dan ibu boleh terjejas. Jadi, pengambilan kalsium yang mencukupi serta pengamalan teh hijau pada diet harian dapat menguatkan tulang ibu mengandung.

3. Memperbaiki Kesihatan Oral

Ketika mengandung, hormon pada badan ibu mengandung kurang bertindak untuk menghindar bakteria pada mulut. Hasilnya, ibu hamil lebih mudah terkena penyakit gusi atau periodontitis serta sakit gigi. Penyakit ini membuatkan gusi bengkak dan berdarah apabila diberus.

Sifat anti-radang teh hijau dapat membendung masalah gusi pada ibu mengandung. selain itu, kandungan teh hijau iaitu ‘catechin’ dapat mengawal pembiakan bakteria yang menyebabkan sakit gigi.

4. Kaya Antioksida

Teh hijau juga terkenal kerana kebaikan antioksida kepada pengamalnya.kandungan antioksidanya 10 kali lebih banyak berbanding buah-buahan dan sayur-sayuran.

Antioksida polifenol dalam teh hijau dapat membantu mengurangkan risiko kanser dengan menghalang pembentukan radikal bebas dalam badan serta menghalang kerosakan sel dan molekul.

5. Melancarkan Sistem Penghadaman

Bila sudah mengandung, badan pasti tidak selesa seperti lenguh-lenguh, mual, pening kepala dan mudah letih. Kita juga akan mengalami kesukaran untuk membuang air besar. Oleh itu, amalkan pengambilan teh hijau dalam pemakanan seharian. Lebih baik diminum awal pagi untuk membantu melawaskan.

Teh hijau mengandungi agen pelawas lembut yang melancarkan sistem penghadaman dan memudahkan membuang. Teh hijau juga membantu pembiakan bakteria baik dalam usus untuk melancarkan sistem penghadaman seseorang.

teh hijau untuk ibu mengandung
Foto Kredit: teacloud.org

Risiko Teh Hijau Untuk Ibu Mengandung

Walaupun teh hijau mempunyai pelbagai kebaikan, kandungan kafein yang terkandung di dalamnya tidak boleh dinafikan. Ibu mengandung perlu menitikberatkan jumlah kafein yang diambil setiap hari. Hal ini kerana kafein boleh menyebabkan dehidrasi dan membuatkan lebih kerap buang air kecil apatah lagi sewaktu hamil. Kajian juga menunjukkan bahawa pengambilan kafein secara berlebihan dapat menurunkan paras asid folik dalam badan untuk perkembangan bayi.

Selain itu, pengambilan teh hijau yang berlebihan boleh menyebabkan tubuh kurang efisyen menyerap zat besi daripada makanan bukan daging. Jadi, cuba elakkan meminum teh hijau bersama makanan lain.

Penting untuk ibu hamil tahu bahawa teh hijau boleh memberi kesan pada paras asid folik pada badan, seperti yang dijelaskan dalam laman web BabyMed. Oleh itu, cuba kawal pengambilannya dalam trimester pertama.

Ambil Dalam Kuantiti Sederhana

1-2 cawan sehari adalah jumlah yang selamat untuk diamalkan ibu mengandung. Jika anda penggemar teh hijau, lebihkan sayur-sayuran hijau untuk meningkatkan kadar asid folik dalam badan.


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *