5 Cara Selamat Mengatasi Pedih Ulu Hati & Gastrik Ketika Hamil


Gastrik ketika hamil dan pedih ulu hati adalah suatu perkara yang normal dan dialami oleh 45%-80% wanita. Ia turut dikaitkan sebagai gastroesophageal reflux disease (GERD), di mana ia melibatkan ketidakselesaan pada bahagian sekitar perut dan ulu hati, terutamanya pada trimester pertama dan kedua kehamilan.

Punca Gastrik Ketika Hamil

Salah satu punca utama berlakunya simptom ketidakselesaan aibat lebihan gas atau gastrik ketika hamil ini adalah disebabkan oleh peningkatan hormon progesteron dalam tubuh badan. Seperti yang dinyatakan oleh sebuah laman web kesihatan Health Line, hormon progesteron membuat otot-otot di dalam badan menjadi lebih relaks. Salah satu otot yang terlibat adalah usus.

Apabila usus bergerak perlahan, ia bermaksud sistem pencernaan juga akan menjadi lebih lambat berbanding biasa. Hal ini menyebabkan lebihan gas semakin berkumpul hingga berlaku kembung, sendawa, dan kerap kentut. Apabila asid perut naik ke bahagian esofagus dan sesekali hingga ke tekak atau mulut, ia akan meninggalkan rasa masam dan pahit.

gastrik ketika hamil
Foto Kredit: baby-pedia.com

5 Cara Mengatasi Pedih Ulu Hati & Gastrik Ketika Hamil

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda lakukan sekiranya mengalami simptom-simptom yang berkait dengan ketidakselesaan perut atau gastrik ketika hamil.

1. Elak Makanan Yang ‘Berangin’

Setiap manusia mempunyai ketahanan yang berbeza terhadap jenis makanan tertentu. Sungguhpun begitu, terdapat beberapa jenis makanan yang paling biasa menyebabkan berlakunya gejala pedih ulu hati dan kembung perut. Makanan tersebut adalah bijirin, kentang dan sayuran seperti kobis, kobis bunga dan brokoli. Ia mengandungi raffinose, yang boleh menyebabkan kita mudah terasa kembung.

Selain itu, sesetengah wanita mudah mengalami masalah pencernaan apabila meminum kopi, jus buah-buahan, serta memakan makanan yang berlemak dan berempah. Elok juga jika anda mengehadkan pengambilan makanan dan minuman berproses, terutamanya soda yang mengandungi sirap jagung fruktos (fructose corn syrup) dan juga karbonat yang boleh menambahkan lagi masalah pencernaan.

2. Makan Dalam Kuantiti Kecil

Jika sebelum ini anda biasa memakan 3 hidangan utama setiap hari, cuba pecahkannya kepada 5 hidangan yang lebih kecil setiap hari.

Dengan cara ini, tubuh anda mempunyai masa untuk mencernakan makanan dengan lebih efisyen.

3. Perbetulkan Postur

Perbetulkan postur anda ketika sedang melakukan kerja-kerja harian. Pastika anda sentiasa duduk dengan tegak dan jangan membongkok.Elakkan berbaring sekurang-kurangnya satu jam selepas makan.

Jika anda selalu mengalami kesakitan ini pada waktu malam, gunakan banyak bantal untuk meninggikan kepala katil anda. Graviti dapat membantu mengekalkan asid perut di tempat yang sepatutnya untuk mengelakkan masalah gastrik ketika hamil.

4. Pakai Pakaian Selesa

Elakkan pakaian yang ketat dan berlapis-lapis, terutamanya di sekeliling perut.

Pakaian yang selesa juga dapat memudahkan pergerakan anda agar lebih aktif.

5. Bersenam

Senaman ringkas seperti berjalan, menarik nafas, dan menaiki tangga dapat memberi kesan positif kepada masalah gastrik ketika hamil. Di samping itu, ia mempercepatkan pencernaan dan dapat mengatasi masalah sembelit.

Senaman juga dapat meningkatkan kualiti kesihatan anda secara keseluruhannya serta membebaskan anda daripada stres.

Dapatkan Ubat Daripada Doktor Sekiranya Perlu

Sekiranya rasa tidak selesa dan kesakitan berterusan, berjumpalah dengan doktor agar mereka dapat mempreskripsikan ubat yang tepat.

Sesetengah ubat jenis antacid atau alginate boleh dibeli di farmasi. Namun, periksalah dahulu dengan doktor anda untuk memastikan ianya selamat diambil semasa hamil. Ini kerana, sesetengah ubat-ubat atau suplemen yang diambil tanpa usul periksa mempunyai kesan sampingan dan mungkin menjadikan masalah gastrik ini menjadi lebih teruk.


2 thoughts on “5 Cara Selamat Mengatasi Pedih Ulu Hati & Gastrik Ketika Hamil”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *