Cabut Gigi Ketika Hamil – Bahaya Ataupun Tidak?


Gigi mungkin bahagian tubuh yang paling kurang kita ambil perhatian. Kita menganggap cukup sekadar memberus gigi setiap hari sudah membuatkan gigi kita bersih.

Tetapi tahukah anda? Gigi adalah bahagian yang paling terdedah dan senang diserang oleh bakteria dan kuman. Lagi-lagi apabila anda sedang hamil.

Muntah atau loya kerana morning sickness dan mengidam makanan manis adalah sebab-sebab yang boleh menyebabkan gigi reput atau rosak dan akhirnya menyebabkan gigi perlu dicabut semasa kehamilan.

Jadi para ibu sekalian jom baca adakah anda perlu untuk cabut gigi semasa hamil anda atau tidak dan adakah prosedur mencabut gigi bahaya semasa mengandung.

 

Masalah Gigi Yang Biasa Terjadi Semasa Kehamilan

Perubahan hormon semasa kehamilan boleh menimbulkan masalah oral atau memburukkan lagi kesakitan yang sedia ada.  Penyakit periodontal ini juga disebabkan oleh jangkitan bakteria pada gusi dan tulang di sekeliling gigi yang membawa kepada kerosakan gigi.

Masalah gigi dan periodontal yang boleh timbul semasa hamil adalah:

  1. Gingivitis (jangkitan kuman di gusi) semasa hamil
Sumber : Gingvitis

Gingivitis menyebabkan keradangan, kelembutan, dan pembengkakan gusi. Anda mungkin sedar gusi anda berdarah apabila anda memberus atau memflos gigi anda.

Anda perlu bertemu doktor gigi untuk mengelakkan sakit gusi anda menjadi lebih teruk. Doktor gigi akan mencadangkan anda supaya kerap membersihkan gigi untuk mencegah sebarang jangkitan kuman atau bakteria.

  1. Gigi mereput

Kaviti (gigi hitam dan berlubang) adalah salah satu masalah pergigian yang selalu terjadi semasa mengandung. Salah satu sebab kerosakan gigi ialah peningkatan pengambilan makanan berkarbohidrat.

Kedua, morning sickness juga boleh meningkatkan paras asid di dalam mulut anda. Asid ini boleh menghakis enamel gigi dan menyebabkan kerosakan gigi.

  1. Bengkak di dalam mulut semasa mengandung (Pregnancy Tumor) 

Pregnancy tumors sering berlaku semasa trimester kedua. Tumor sebesar buah raspberi merah adalah bengkak yang disebabkan oleh penambahan tisu antara gigi, dan biasanya berdarah.

Salah satu sebab terjadinya tumor adalah dari plak yang berlebihan. Tumor ini akan hilang selepas anda bersalin.

Walau bagaimanapun, dalam kes-kes tertentu, doktor gigi anda mungkin meminta anda untuk mencabut gigi untuk mengelakkan kerosakan gigi menjadi lebih teruk.

 

Mencabut Gigi Semasa Kehamilan

Jika anda mempunyai gigi yang dijangkiti dan rasa sakit yang kuat, maka gigi tersebut perlu dicabut.

Selalunya, masalah periodontal yang membawa kepada gigi dicabut adalah kerana hilangnya sokongan tulang di sekeliling gigi. Kes-kes seperti ini adalah sangat perlu untuk gigi dicabut.

Sebelum membuat keputusan untuk mencabut gigi, mari kita lihat simptom-simptom perlunya gigi anda dicabut.

 

Simptom-simptom Yang Menunjukkan Gigi Perlu Dicabut

Sekiranya anda mengalami masalah ini, ia boleh menjadi masa yang tepat bagi anda untuk mendapatkan gigi yang diekstrak:

  • Kesakitan yang kuat di gusi dan gigi
  • Gigi yang dijangkiti kuman atau rosak
  • Kesukaran makan makanan
  • Gusi bengkak
  • Kesukaran bercakap
  • Perdarahan gusi

Walaupun masalah gigi boleh timbul pada bila-bila masa semasa kehamilan anda, anda mungkin perlu menunggu masa yang tepat untuk mencabut gigi anda.

 

Bilakah Masa Yang Sesuai Untuk Mencabut Gigi Anda Semasa Kehamilan?

sakit pinggang semasa hamil
Foto Kredit: 123rf.com

Masa yang terbaik untuk mencabut gigi adalah semasa trimester kedua. Ini adalah sebab-sebabnya :

  • Trimester pertama (1-3 bulan)

Tempoh dari minggu ketiga hingga minggu kelapan adalah masa dimana organ-organ penting berkembang di dalam bayi. Apa-apa ubat atau tekanan yang disebabkan oleh pencabutan gigi boleh memberi kesan kepada pertumbuhan bayi di dalam perut kita.

[Baca juga : Perkembangan Janin Mengkiut Trimester]

  • Trimester kedua (4-6bulan)

Trimester kedua adalah waktu paling selamat untuk mencabut gigi. Pada masa ini bayi di dalam perut kita boleh dikatakan sudah membesar dengan cukup.

Walau bagaimanapun, sebelum mencabut gigi, doktor gigi akan mengambil beberapa langkah untuk membuat anda berasa tenang dan bagi mengelakkan sebarang masalah:

Semasa menjalankan prosedur, jika anda jatuh ke dalam syncope (iaitu keadaan separa sedar atau tidak sedar akibat tekanan darah rendah), maka anda akan dialihkan untuk mengiring ke kiri untuk mengurangkan tekanan.

Apabila anda duduk dalam posisi terlentang atau tertidur, ia boleh mengakibatkan sindrom hypotension (penurunan tekanan darah) akibat tekanan yang diberikan oleh janin pada vena cava inferior (salur darah ke jantung anda). Oleh itu, doktor gigi anda meninggikan pinggul kanan anda semasa di atas kerusi pergigian bagi mengembalikan tekanan darah yang normal.

  • Trimester Ketiga (7-9 bulan)

Dengan keadaan perut yang membesar semasa trimester ketiga akan menjadi sukar bagi anda untuk duduk lama dalam kedudukan yang sama. Ini akan membuatkan anda tidak selesa semasa mencabut gigi.

Jika anda mengalami kesakitan yang teruk dan gigi anda mungkin dicabut, maka bulan pertama dalam trimester terakhir adalah masa terbaik untuk menjalankannya.

Walaubagaimanapun, rawatan asas untuk mencabut gigi, boleh dilakukan semasa kehamilan, manakala rawatan lanjutan biasanya akan dielakkan dan ditangguhkan sehingga selepas berpantang oleh doktor gigi.

Persoalannya…Adakah prosedur pergigian ini selamat semasa mengandung?

 

Mencabut Gigi:  Langkah-Langkah Keselamatan Ketika Mengandung

Mencabut gigi melibatkan penggunaan X-ray dan juga anestesia (ubat bius). Mari lihat adakah ia selamat untuk digunakan oleh para ibu mengandung.

  1. X-Ray: X-ray akan digunakan untuk mencari dan memastikan gigi yang terjejas dan mengenal pasti sejauh mana pereputan atau kerosakan gigi berlaku. Semasa prosedur dijalankan, sehelai apron/kain khas akan digunakan untuk menutup bahagian atas badan pesakit untuk mengelakkan sebarang kesan sampingan radiasi kepada janin semasa XRay dilakukan.
  1. Anaesthesia: Sebelum mencabut gigi, pesakit akan diberi bius – biasanya ialah Lidocaine atau Novocaine. Ia adalah ubat Kategori B, yang selamat untuk digunakan semasa mengandung. Ubat bius ini akan memasuki plasenta tetapi sempat ditapis oleh sistem badan dari memasuki janin. Biasanya doktor akan memberi anda dos yang lebih rendah daripada biasa.
Sumber : Shutterstock

Menurut Jurnal Persatuan Pergigian Amerika (JADA), adalah selamat untuk wanita hamil menjalani rawatan pergigian dengan penggunaan ubat bius.

Oleh kerana anda dan bayi, kedua-duanya akan mendapat kesan daripada rawatan tersebut, penting untuk berunding dengan pakar sebelum memulakan sebarang prosedur atau ubat.

Doktor selalunya akan mengelakkan sebarang kaedah rawatan atau ubat-ubatan yang boleh membawa risiko kepada janin, terutama pada wanita yang ingin hamil atau mungkin telah hamil.

Doktor pakar bedah mulut dan maxillofacial (bahagian kepala, muka dan leher) tidak boleh menjalankan pembedahan untuk pesakit hamil melainkan keadaan yang sangat memerlukan sahaja.

Walau bagaimanapun, mereka boleh meneruskan rawatan dalam kes kecemasan yang melibatkan jangkitan, trauma, dan patologi. Sebarang rawatan yang dilakukan mesti bertujuan untuk mengoptimumkan kesihatan ibu tanpa memberi risiko kepada bayi di dalam perut.

[Baca juga : 6 Perkara Perlu Buat Bila Disahkan Hamil]

 

Keselamatan ubat-ubatan:
  • Antibiotik : Doktor gigi anda boleh memberikan penisilin, amoksisilin, dan clindamycin yang selamat semasa hamil. Erythromycin juga selamat tetapi jika perut pesakit dapat menahan dari kesan ubat tersebut. Jika anda alah kepada mana-mana ubat-ubatan ini, berbincang lah dengan doktor anda supaya beliau boleh menetapkan ubat alternatif.
  • Ubat tahan sakit : Selepas mencabut gigi, kawasan di mulut anda akan berasa sakit selama beberapa hari. Anda boleh menggunakan ubat tahan sakit jenis opioid (codeine, hydrocodone, dan lain-lain) dengan nasihat doktor. Ubat anti-radang nonsteroid, seperti ibuprofen, aspirin, dan naproxen, boleh digunakan untuk tempoh yang lebih pendek sehingga 72 jam tetapi perlu dielakkan semasa trimester pertama dan ketiga.

 

Ubat-ubatan Yang Perlu Dihindari Semasa Kehamilan
  • Jangan ambil tetracycline (tetracycline, minocycline, doxycycline) sama ada sebagai pil atau formulasi topikal, kerana ubat itu boleh mengotorkan gigi bayi anda.
  • Anda juga harus mengelakkan fluoroquinolones (ciprofloxacin, levofloxacin, moxifloxacin).
  • Semasa kehamilan, ubat teratogenik seperti thalidomide dan beberapa retinoid tidak digunakan kerana ia boleh menyebabkan kecacatan, seperti di lelangit dan bibir pada bayi.

Anda tidak disarankan untuk membuat rawatan elektif seperti pemutihan gigi atau sebarang prosedur kosmetik semasa kehamilan. Pada masa yang sama juga jangan menangguhkan rawatan-rawatan pergigian yang penting seperti penampalan gigi berlubang, pembersihan atau crowning.

Tetapi bagaimana pula jika gigi bongsu anda perlu dicabut?

 

Sakit Gigi Bongsu Dan Perlukah Ia Dicabut Semasa Kehamilan

Semasa kehamilan, anda mungkin mengalami masalah sakit gigi yang tidak terkawal kerana masalah gusi. Faktor-faktor seperti pembentukan plak, pertumbuhan gigi yang tidak normal atau jangkitan kuman atau bakteria boleh membawa kepada sakit gigi bongsu.

Sekiranya anda terasa sangat sakit dan kerosakan gigi nampak teruk, gigi bongsu perlu dicabut sama seperti gigi lain.

 

Bagaimana Anda Boleh Menghalang Dari Berlakunya Masalah Gigi Semasa Kehamilan?

Beberapa langkah berjaga-jaga dapat membantu anda menjauhi masalah pergigian semasa kehamilan. Berikut adalah cara anda boleh menjaga gigi anda:

  • Lakukan pemeriksaan dan pembersihan gigi dengan kerap untuk mengelakkan sebarang plak di gigi.
  • Kurangkan makanan bergula, kerana ia boleh menyebabkan keradangan atau bengkak gusi semasa kehamilan.
  • Elakkan meminum minuman keras yang mengandungi alkohol. Gunakan ubat gigi fluorida yang diluluskan ADA atau floss setiap hari.
  • Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan flos sekurang-kurangnya sekali. Gunakan berus lembut untuk mengurangkan kesakitan pada lapisan gusi.
  • Elakkan daripada grafting semasa mengandung kerana ia boleh mengakibatkan pendarahan berlebihan.
  • Selain masalah kesihatan lain, merokok juga membawa kepada masalah periodontal. Oleh itu, berhenti merokok semasa kehamilan.

Menjaga gigi adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan semasa hamil kerana ianya penting untuk memastikan kesihatan yang terbaik untuk diri dan bayi anda.

Sentiasa berkunjung ke doktor gigi bagi memastikan gigi anda sentiasa bersih dan sihat. Kekalkan rutin penjagaan mulut yang sihat di rumah supaya anda boleh melalui fasa kehamilan dengan senyuman.

 

RUJUKAN : Mom JunctionThe Vocket


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *