Anak-anak memang banyak kerenah. Ada yang hiperaktif dan banyak bercakap. Ada yang sangat pemalu sehingga susah dibawa berbual. Ada yang asyik ‘memerap’ dengan ibu dan asyik mengharapkan kita untuk buat segala perkara.

Secara semulajadi, ibu bapa sentiasa akan melindungi anak-anak, walaupun dalam sekecil-kecil perkara. Tapi, sampai bila? Ibu bapa perlu membina keyakinan anak-anak sejak kecil untuk menjadikan mereka dewasa yang percaya diri dan bertanggungjawab.

7 Tips Mendidik Anak Pemalu. Biar Lebih Yakin!

Di sini disertakan beberapa cara untuk mendidik anak pemalu anda agar tampil lebih yakin.

1. Berhenti Membandingkan

Perkara pertama dan paling penting, kita perlu ingat bahawa tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Oleh itu, jangan sesekali membandingkan kebolehan anak kita dengan kanak-kanak lain.

Sebaliknya, berikan kata-kata perangsang kepada anak dan tarik minatnya melalui sesuatu yang anda tahu.

2. Asah Minat Mereka Sejak Kecil

Jika anak anda mempunyai bakat dan minat yang dapat dilihat sejak kecil, seperti melukis atau bermain alat muzik, ambil inisiatif untuk hantar mereka ke kelas-kelas yang berkaitan untuk mengasah bakat mereka.

Dengan cara ini, bukan saja bakat mereka dapat digilap, tetapi ia sebenarnya amat membantu mereka untuk lebih yakin dan berdikari.

3. Tunjukkan Cara Berkawan

Anak kita mungkin mahu berkawan dengan kanak-kanak lain tetapi tidak tahu cara untuk memulakan perbualan. Jika anda memaksa, mungkin mereka akan berasa kurang selesa hingga fobia untuk berkawan.

Untuk permulaan, anda boleh tegur kanak-kanak lain didepan anak dan perkenalkan anak anda pada kanak-kanak lain. Anak kita suka ikut kelakuan kita. Dia akan belajar perlahan-lahan cara untuk berkawan dan lama-kelamaan mereka akan lebih tahu apa yang patut dilakukan.

4. Mulakan Dengan Kumpulan Kecil

Jika di dalam bilik permainan penuh dengan kanak-kanak yang lebih tua dan dengan suasana yang bising, anak kita pasti akan stres.

Oleh itu, latih anak anda untuk berkawan dalam kumpulan kecil dahulu dan lebih kurang sebaya dengan mereka. Barulah mereka akan lebih selesa bergaul dan akan lebih gembira bermain.

5. Jangan Halang Mereka Menangis

Anak pemalu biasanya mudah menangis. Namun, kita perlu tahu bahawa mungkin mereka berjiwa sensitif dan belum bersedia dalam sesuatu hal. Menangani kegagalan bukan mudah. Kita sebagai dewasa pun pasti merasa sedih jika gagal melakukan sesuatu.

Beri ruang pada anak untuk melakukan kesilapan. Beri peluang mereka untuk meluahkan isi hati mereka. Mungkin pada mulanya mereka akan merasa marah dan mahu putus asa, tapi ibu bapa boleh menjuruskan perasaan sedih itu kepada sesuatu yang lebih positif. Itulah cara untuk menjadikan mereka berjaya lakukan sesuatu.

6. Libatkan Mereka Dalam Kerja Rumah

Biasakan anak untuk tolong kita di rumah. Berikan mereka tugas yang senang dahulu. Membabitkan mereka dalam sesuatu tanggungjawab akan mengubah cara pemikiran mereka menjadi lebih berdikari.

Sedikit demi sedikit, tindakan ini membantu membina keyakinan diri mereka. Mungkin suatu hari nanti kita akan dikejutkan dengan hidangan yang mereka sediakan sendiri!

7. Elak Mempersendakan Anak

Semasa bercakap dengan anak, hargailah setiap idea atau hasil rekaan mereka walaupun kadangkala ia kelihatan seperti tidak masuk akal!

Apabila kita selalu mempersendakan mereka, keyakinan mereka akan semakin berkurang dan tidak mahu lagi mencuba.

anak pemalu

Jangan Paksa Anak Berubah Sekelip Mata

Anak pemalu dan pendiam tidak akan menjadi terus peramah dalam masa sehari. Beri mereka ruang untuk membina keyakinan. Jangan paksa mereka untuk melakukan sesuatu yang anda fikir ‘senang’.

Sebaliknya, gunakan pendekatan yang paling berkesan untuk melatih anak anda bergaul dan percaya pada diri. Yang penting, sayangi mereka, dengar segala masalah mereka dan prihatin dengan situasi yang mereka hadapi.