Memastikan berat badan terkawal semasa mengandung bukanlah perkara yang mudah. Akibat perubahan hormon, diet ibu hamil boleh terjejas kerana wanita cepat letih dan sering terasa lapar. Tambahan pula, macam-macam makanan yang kita mengidam sejak hamil ini.

Kononnya, ada pula dengan nasihat orang yang mengajar kita ‘makan untuk dua orang’. Takut bayi lapar dalam perut. Sebenarnya, diet ibu hamil amat penting untuk kesihatan sepanjang kehamilan. Malah, ia boleh mengurangkan risiko serta komplikasi kelahiran Caesarean dan bayi pramatang.

Dengan cara yang betul, ibu hamil boleh mengawal berat badan agar kesihatan lebih terjaga sepanjang kehamilan.

8 Tips Mudah Mengawal Berat Badan Sepanjang Kehamilan

1. Tahu Sasaran Anda

Sebaik saja anda disahkan hamil, pastikan anda mematuhi temujanji dengan doktor. Jika mampu, bawa sekali pasangan. Hal ini penting untuk mendapatkan penjelasan lebih tentang tahap kesihatan anda dan pasangan.

Doktor juga akan menyarankan berat badan ideal untuk hamil serta beberapa perubahan pada corak pemakanan yang diamalkan.  Berat badan akan mudah dikawal sekiranya anda tahu sasaran berat badan ideal. Kehamilan yang bermula dengan berat badan yang sihat juga kurang berisiko terhadap masalah kesihatan lain.

Anda Sedang Hamil Dan Ada Masalah HB Rendah? Dapatkan Panduan Rahsia Mudah Naikkan HB Dalam 2 Minggu (Percuma). Klik SINI.

2. Dapatkan Rehat Yang Cukup

Agak sukar untuk mendapatkan rehat yang cukup akibat sering terbangun daripada tidur kerana muntah dan buang air kecil. Lebih-lebih lagi badan mudah terasa lesu semasa hamil kerana badan yang bekerja keras untuk membesarkan anak di dalam perut.

Dapatkan rehat secukupnya dalam kesempatan yang ada. Minta pertolongan jika tidak menang tangan dalam kerja di rumah mahupun di pejabat. Tanpa rehat yang mencukupi, badan lebih mudah naik berat badan akibat tahap metabolism yang menurun dan anda lebih cenderung untuk makan secara berlebihan.

3. Bergerak Aktif

Mengandung bukanlah alasan untuk bermalas-malasan di rumah. Teruskan melakukan kerja rumah yang biasa anda buat, cuma hindarkan kerja yang berat. Sekiranya anda memang amalkan senaman, ia baik untuk diteruskan tetapi dengan sedikit perubahan yang sesuai dengan fizikal ibu mengandung.

Jika anda baru mahu berjinak-jinak dalam aktiviti fizikal, mulakan dengan aktiviti ringan seperti berjalan, yoga dan berenang. Dapatkan saranan doktor untuk senaman kehamilan terbaik.

4. Makan Dalam Kuantiti Kecil

Ibu mengandung dinasihati untuk makan lebih 300 ke 400 kalori sahaja berbanding biasa untuk tumbesaran bayi yang sihat. Gunakan kalori lebih ini untuk makan makanan berkhasiat. Doktor sarankan untuk mengamalkan cara pemakanan dengan sukatan sedikit tetapi kerap.

Lebihkan pengambilan protein, sayur-sayuran dan buah-buahan. Jika lapar, ambil snek sihat seperti segenggam kekacang atau sepinggan buah-buahan. Dengan cara ini, anda bukan sahaja dapat membekalkan nutrisi baik buat anak, malah paras gula dalam badan juga dapat dikawal dan seterusnya anda akan terhindar daripada terlebih makan nanti.

5. Jangan Terlalu ‘Menyeksa’ Diri

Kalau mahu mengawal berat badan, janganlah sampai menghukum diri sehingga tidak membenarkan diri menikmati makanan yang diidamkan. Ditakuti terlebih makan nanti pada akhirnya. Tidak salah untuk memuaskan keinginan sekali sekala asalkan berpada-pada.

Lebih baik sekiranya makanan tersebut digabungkan dengan makanan sihat lain. Contohnya jika anda idamkan semangkuk aiskrim, nikmatilah bersama potongan buah-buahan segar serta kekacang yang banyak.

6.  Minum Air Secukupnya

Hamil atau tidak, pengambilan air yang mencukupi amat penting untuk fungsi badan yang optimum. Dengan pengambilan air yang mencukupi, berat badan dapat dikawal semasa hamil kerana dapat mengurangkan keinginan untuk makan antara waktu makan.

Selain itu, pengambilan air yang cukup dapat mengurangkan risiko sembelit serta mengembalikan tenaga yang hilang akibat kelesuan. Jika tidak lalu untuk minum air kosong, tambahkan hirisan lemon atau timun pada air untuk rasa yang menyegarkan.

7. Catatkan Apa Yang Anda Makan

Dengan rutin harian yang sibuk, memang susah untuk mengawal makanan yang diambil. Oleh itu, reka satu diari untuk mencatat makanan yang diambil bermula dari sarapan pagi hingga ke makan malam. Dengan cara ini, kita dapat melihat corak pemakanan harian dan jumlah yang diambil.

Dapatlah anda mengawal sukatan makanan yang diambil, kurangkan makanan tidak berkhasiat dan lebihkan makanan sihat dalam diet harian. Barulah kita tahu bagaimana selama ini dari mana datangnya kalori berlebihan.

8. Tukar Kepada Snek Sihat

Bukan mudah untuk terus kurangkan sukatan makanan dalam diet harian. Oleh itu ambil langkah mudah dengan menukar beberapa makanan kepada yang lebih sihat. Contohnya, gantikan buah-buahan kering dengan yang segar, larutkan jus buah kegemaran anda dengan air kosong, tukarkan semangkuk aiskrim kegemaran dengan yogurt buah-buahan.

Anda pasti akan terkejut dengan perubahan yang berlaku pada badan dengan sedikit perubahan dalam pemakanan harian.

Ambil Langkah Proaktif

Semua ibu hamil pasti mahukan yang terbaik untuk diri dan anak di dalam kandungan. Ambil langkah proaktif dengan mengamalkan gaya hidup sihat bermula daripada sebelum kehamilan. Dengan diet harian yang seimbang serta aktiviti fizikal yang mencukupi, tiada masalah untuk ibu mengandung mencapai berat badan yang terkawal sepanjang usia kehamilan.

Anak di dalam kandungan juga pasti dapat membesar dengan sihat dan cergas dengan usaha yang dilakukan oleh ibu.