“Nawwal, kenapalah asyik meragam ni. Nak tumbuh gigi ya? Mama nampak asyik menggigit saja. Risau Mama dibuatnya…”

Menurut MayoClinic, bayi biasanya akan tumbuh gigi sekitar usia 6 bulan. Dua gigi hadapan bawah adalah yang pertama muncul diikuti dengan dua gigi hadapan atas. Namun, ada juga bayi yang lebih awal dan lebih lewat.

Tanda Bayi Tumbuh Gigi

Simptom-simptom yang lazimnya turut serta dengan gigi yang tumbuh ini mungkin boleh menyebabkan ibu bapa sedikit risau, letih, dan penat. Antara tanda bayi tumbuh gigi adalah:

  • Air liur meleleh
  • Suka menggigit objek keras
  • Nampak tak selesa dan asyik meragam
  • Menghisap jari

Sesetengah ibu bapa berpendapat bayi mereka akan demam dan cirit-birit apabila tumbuh gigi. Namun, anda tidak perlu risau sekiranya anda menjaga kebersihan bayi dan mengamalkan tips ini.

5 Perkara Ibu Bapa Perlu Buat Bila Bayi Tumbuh Gigi

Berikut adalah perkara yang perlu anda beri perhatian apabila bayi tumbuh gigi.

1. Gosok Gusi Bayi

Gunakan jari atau kain lampin yang bersih dan dilembapkan sedikit untuk menggosok gusi bayi anda.

Tekanan daripada jari atau kain ini membantu melegakan kegatalan gusi dan rasa ketidakselesaan yang dialaminya.

Foto Kredit: newkidscenter.com

2. ‘Teether’ Dingin

Jika anda mempunyai ‘teether’, masukkan sebentar ke dalam peti sejuk (bahagian ‘chiller’, bukan ‘freezer’ ya!) supaya ia terasa sedikit dingin.

Jika tiada, anda juga boleh memberi kain / saputangan yang disimpan dalam beg ‘ziplock’ dan disejukkan dalam peti sejuk. Rasa sejuk ini dapat menjadikan gusi terasa kebas dan sekaligus melegakan kerengsaan tersebut.

Foto Kredit: todaysparent.com

3. Buah-buahan Sejuk

Sekiranya bayi anda sudah berusia 6 bulan, mereka boleh diberi ‘finger food’ sebagai snek dan juga untuk merawat rasa tidak selesa akibat tumbuh gigi.

Berikan buah-buahan kegemaran bayi untuk mereka menggigitnya di samping mendapatkan nutrisinya. Sejukkan dalam peti ais pun boleh.

Foto Kredit: tasalamati.com

4. ‘Breastmilk Popsicle’

Selain menggunakan ‘teether’, ada satu lagi cara untuk anda membantu bayi tumbuh gigi melegakan rasa sakit atau gatal pada gusinya, iaitu dengan membuat aiskrim susu badan atau ‘breastmilk popsicle’.

Caranya mudah, anda boleh menggunakan puting bayi atau acuan khusus untuk membuatnya seperti dalam gambar di bawah.

bayi tumbuh gigi

Foto Kredit: community.babycenter.com

5. Sentiasa Lapkan Air Liur Bayi

Semasa bayi tumbuh gigi, lazimnya air liur mereka banyak yang meleleh. Oleh itu, pantau keadaan bayi sekerap mungkin dan pastikan air liur mereka sentiasa dilapkan.

Jika tidak, air liur boleh menyebabkan iritasi pada kulit dan boleh menyebabkan bayi berasa lebih tidak selesa.

Foto Kredit: drgreene.com

Jika Berlarutan, Dapatkan Nasihat Doktor

Sekiranya bayi anda masih meragam dan keadaannya menjadi lebih buruk sehingga cirit-birit, ruam teruk, atau demam, pastikan anda membawa bayi berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Doktor akan mempreskripsikan ubat yang sesuai dengan keperluan bayi anda.