“Eh, Auntie, anak perempuan auntie boleh buat robot ke? Diakan perempuan, perempuan kan lembik, mana boleh main robot-robot ni”

Berdesing telinga saya mendengar komen sorang budak lelaki bila melihat Aisyah sangat mahir mengendalikan robot Lego mindstorm di center kami. Center robotik Earlyedukids ramai juga pelajar perempuan. Dan semua pun hebat2 belaka!

Saya pandang yg bertanya.
“Kenapa pula aisyah tak boleh buat? Kenapa adik rasa perempuan tak boleh main robot?”

Kata anak tadi ” Alah, ayah ckp budak perempuan tak kuat, adik saya pun perempuan, perempuan cepat nangis, lembik”

Sedih. Cara didikan begini masih ada?

TEKNIK MENDIDIK ANAK PEREMPUAN

Zaman perempuan layu, lemah dan mudah ditindas seharusnya tidak wujud lagi. Kita seharusnya tidak lagi dibelenggu sistem kasta perempuan terperuk di dapur, tak reti buat apa, takut, dan mudah dipijak-pijak.

Perempuan adalah tulang belakang keluarga. Di mana lelaki adalah otak nya. Cuba fikir kembali, kalau tiada tulang belakang , otak nak letak di mana? Sudah pasti bergolek-golek di lantai tiada fungsi.

Jadi, perempuan, berhentilah menjadi golongan yang merendahkan diri sendiri dan perempaun lain. Allah jadikan kamu kuat, mampu dan di apung tinggi oleh agama.

Kepada BAPA yg mempunyai anak perempuan, usah dicanang kelemahan perempuan, usah didiskriminasi anak perempuan kamu sebagai lemah, usah dibanding anak perempuan kamu dengan yang lelaki, berlaku adil lah.

Jadi, kita sebagai ibu dan bapa perlu ada misi. Misi kita menjadikan anak perempuan kita, golongan yang kuat, tidak lembik, yakin, berani dan berkebolehan.

Anak perempuan, dari kecil harus diberikan peluang untuk merasa kuat, menjadi kuat dan berani.
Antara perkara yg perlu diajarkan kepada anak-anak perempuan ialah:

1. Tidak menjadi penggeli atau penakut. Tidak memberi gambaran perempuan takut semua benda, beri mereka peluang pegang dan kuasa ketakutan dalam diri. Tiada lah nampak cicak meraung macam kena sawan.

2. Ajar anak perempuan bertukang. Ajar potong kayu, guna tukul dan paku. Ini tidak, rak buku patah, kena tunggu suami balik kerja tolong paku. Kalau suami sibuk, setahun lah rak buku tu tumbang.

3. Ajar anak perempuan seni pertahan kan diri. Hantar ke kelas-kelas karate, teakwando, memanah, menembak (kalau ada). Supaya anak boleh mempertahankan diri bila memerlukan. Kalau Allah duga suami naik tangan, Anak perempuan kita paling tidak boleh elak dengan tangkas kalau tidak dapat bagi flying kick pun boleh kan!

4. Ajar anak untuk berani mempertahankan diri secara verbal. Bukan penakut, diam sahaja bila org verbally abuse dia, atau diam sahaja bila orang perlekehkan dia. Dia perlu ada keyakinan utk ckp no, tidak dan jangan.

[Baca juga: Benarkah Anak Lelaki Lambat Bercakap? Ini 5 bezanya Dengan Anak Perempuan]

5. Ajar anak perempuan fahami benda-benda yang melibatkan sistem elektrik. Ajar dia tukar mentol lampu, tahu tukar fius terbakar yg basic. Tak payah tunggu kena suami buat baru boleh masak nasi. Alasan tak tahu kenapa periuk nasi tak hidup.

6. Ajar anak perempuan ” jump kereta” dan tukar tayar kereta. Ini survival skill. Penting. Jadi, kalau ayah bawak kereta tayar meletup, ajak anak tengok cara tukar tayar. Baru anak pandai nak buat.

7. Ajar anak perempuan untuk buat sesuatu urusan dgn tangkas, berjalan dgn cepat, dan tidak mudah mengeluh. Canang pada dia yang dia kuat, berani dan hebat.

8. Ajar anak perempuan kita dari kecil untuk mampu mengangkat benda yg berat. Bina kekuatan otot tangan. Tiadalah nanti kena rentap sikit dah jatuh.


9. Canang pada anak-anak perempuan kita tentang kekuatan sahabiah di zaman Rasullullah. Mana ada perempuan lembik-lembik zaman itu.

10. Tidak mendiskriminasikan aktiviti. Contoh, ini untuk orang lelaki sahaja, selagi tidak melanggar hukum syarak, anak perempuan juga perlu diberi peluang mencuba.

Ini antara benda yg perlu di ajar pada anak-anak perempuan selain dari adab, akhlak, aurat dan hikmah.
Diharap ibu dan bapa terutamanya, janganlah dijadikan anak perempuan kamu bahan lawak di antara kamu dan anak lelaki kamu. Anak kamu melihat kamu sebagai contoh. Kalau kamu layan dia sebagai lembik, begitulah nanti dia meletak dirinya lembik di hadapan lelaki lain.

Perkongsian Asal Dari FB Puan Fauzan N Siti