Semua pasangan berkahwin pasti mahukan fasa kehamilan berjalan lancar sehingga sampai waktu untuk bersalin. Namun begitu, sesiapa saja berisiko untuk mengalami komplikasi kehamilan. Bagi kes kehamilan luar rahim, ia dianggarkan boleh berlaku kepada 1 dalam 50 ibu mengandung.

Dalam poses kehamilan biasa, si ibu mengeluarkan telur ke tiub fallopian dan kekal sehingga 24 jam untuk bersenyawa dengan sperma. Selepas bersenyawa, sel campuran akan berkembang selama 3 ke 4 hari dan akan pindah ke dinding rahim untuk berkembang sepenuhnya selama 9 bulan. Kehamilan luar rahim terjadi apabila sel campuran telur dan sperma melekat pada kawasan lain selain dinding rahim terutamanya di dinding tiub fallopian.

5 Perkara Wanita Mesti ‘Alert’ Tentang Kehamilan Luar Rahim

1. Simptom Awal

Agak sukar untuk mengenalpasti simptom awal kehamilan luar rahim kerana simptomnya yang sama dengan kehamilan biasa seperti muntah, pening kepala, dan lesu. Namun, ia menunjukkan simptom lain seperti pendarahan walaupun ujian kehamilan positif. Anda juga mudah berasa sakit pada bahagian pelvis dan abdomen.

Kesakitan ini mungkin sederhana atau sangat sakit sehingga membuatkan anda muntah atau loya. Sakit pada bahagian bahu juga adalah tanda awal kehamilan luar rahim. Kesakitan ini lebih terasa apabila anda baring dan merupakan tanda pendarahan dalam yang memberi kesan kepada saraf bahu.

2. Cara Mengesan Kehamilan Luar Rahim

Doktor akan mula mendiagnos anda sekiranya anda mengadu sakit pada abdomen dan atau pelvis semasa pemeriksaan kesihatan berkala. Doktor akan mula mengambil ujian darah dan lakukan imbasan ultrasound. Agak sukar untuk diagnos pada awal kehamilan kerana saiz embrio yang sangat kecil dan sukar dilihat.

Jika hormon hCG adalah pada kadar yang sepatutnya dan embrio terlihat melekat pada bahagian selain dinding rahim, maka anda mengalami kehamilan luar rahim. Bengkak atau darah beku mungkin dapat dilihat pada tiub fallopian.

Jika doktor sukar untuk mengenalpasti sama ada anda mengalami kehamilan luar rahim atau keguguran, pembedahan kecil perlu dilakukan untuk diagnos yang tepat. Dengan kaedah pembedahan laparoscopy ini, kamera kecil akan dimasukkan melalui abdomen untuk melihat saluran tiub fallopian.

3. Kaedah Rawatan

Kaedah rawatan bergantung pada saiz embrio dan simptom yang ditunjukkan. Jika doktor mengesahkan kehamilan luar rahim dan saiz embrio masih kecil, doktor akan memberi suntikan methotrexate. Suntikan ini akan menghalang sel plasenta untuk berkembang.

Doktor akan mengambil ujian darah untuk menguji keberkesanan suntikan ini. Suntikan ini akan memberi beberapa kesan sampingan seperti muntah, cirit birit dan kejang pada bahagian abdomen. Jika anda di dalam kondisi tidak boleh mengambil suntikan itu, mengalami pendarahan dalam dan mengalami kesakitan teruk, doktor akan mencadangkan untuk menjalani pembedahan.

Apabila keadaan teruk dan tiub fallopian kelihatan terjejas, doktor perlu membuang sebahagian tiub tersebut terutamanya jika pendarahan semakin teruk.

4. Siapa Yang Berisiko?

Antara ibu mengandung yang berisiko adalah yang pernah membuat pembedahan tubal ligasi. Pembedahan ini adalah kaedah pemandulan yang kekal dan menghalang laluan tiub fallopian secara normal. Selain itu, walaupun risiko sedikit rendah, ibu yang pernah membuat pembedahan pada bahagian pelvis atau abdomen.

Di samping itu, ibu mengandung juga cenderung mengalami kehamilan luar rahim jika mempunyai penyakit jangkitan seksual (sexual transmitted infections). Jangkitan ini membuatkan bakteria merebak pada bahagian tiub fallopian, rahim dan dan ovari.

Ibu yang pernah didiagnos dengan endometrosis juga turut berisiko mengalami kehamilan luar rahim. Faktor lain ialah mengandung pada usia lebih 35 tahun, merokok, dan mengalami isu kesuburan.  Jika anda berjaya hamil kerana ubat kesuburan atau kaedah IVF, anda juga berisiko kehamilan luar rahim.

5. Rancang Kehamilan Akan Datang

Memang sukar untuk terima hakikat yang kehamilan tidak berjaya. Lebih teruk lagi sekiranya kehamilan ini membuatkan tiub fallopian terpaksa dibuang kerana komplikasi. Peluang juga semakin tipis sekiranya kehamilan luar rahim berlaku akibat pembedahan tiub ligasi, dan jangkitan pada peranakan.

Namun begitu, anda masih berpeluang untuk mengandung lagi asalkan tiub yang masih ada dalam keadaan yang baik. Doktor akan menasihatkan anda untuk mencuba hamil selepas 2 kitaran haid supaya tiub fallopian benar-benar pulih.

Jika anda mendapat suntikan methotrexate, anda perlu tunggu 3 bulan supaya keadaan anda benar-benar stabil. Anda juga boleh lakukan ikhtiar lain seperti rawatan kesuburan IVF untuk cuba hamil lagi.

kehamilan luar rahim

Foto Kredit: ask4healthcare.com

Peluang Terbaik Untuk Mengandung Lagi

Keguguran pasti memberi impak yang besar pada anda dan pasangan. Anda pasti tidak sabar untuk mencuba lagi, anda juga mungkin rasa ragu dan takut. Dalam apa keadaan sekali pun, anda perlu masa untuk pulih secara fizikal dan emosi sebelum berfikir untuk mencuba lagi. Dapatkan nasihat daripada doktor untuk mengetahui peluang dan cara terbaik untuk mengandung lagi.

Sokongan moral daripada keluarga dan rakan sangat penting saat ini untuk memulihkan semangat yang hilang. Pengamalan gaya hidup sihat juga perlu diteruskan untuk kesihatan anda dan pasangan supaya peluang lebih cerah untuk mendapatkan zuriat pada masa akan datang.