“Ingat tak, kakak awak dulu bersalin ada komplikasi sebab dia ada kencing manis kan? Risaulah saya. Agak-agaknya, awak ada kencing manis juga tak?”

Tahukah anda, sebenarnya semua wanita hamil mempunyai potensi menghidapi diabetes atau kencing manis kerana secara semulajadinya tubuh badan ibu hamil akan menghasilkan lebih insulin untuk memenuhi keperluan bayi dalam kandungan, terutamanya mulai pertengahan kehamilan dan seterusnya.

Kencing manis yang dihidapi semasa hamil inilah yang dikenali sebagai diabetes gestasi. Ia adalah kencing manis yang dihidapi buat kali pertama semasa kehamilan walaupun tidak mempunyai tanda menghidapinya sebelum ini.

Foto Kredit: shutterstock.com

5 Tanda Kencing Manis Ibu Hamil Perlu Tahu

Selalunya, penyakit ini dikesan melalui pemeriksaan gula dalam darah (minum air gula). Walaubagaimanapun, berikut adalah beberapa tanda kencing manis ibu hamil yang mungkin dirasai dan berisiko pada peringkat awal.

Oleh itu, jika anda menghadapi simptom-simptom ini, pastikan anda memberitahu doktor tentangnya.

1. Peningkatan Berat Badan Yang Mendadak

Biasanya, sepanjang kehamilan, tentulah berat badan akan meningkat. Namun, ia seharusnya menaik secara terkawal dan berperingkat.

Selain peningkatan berat badan yang mendadak, wanita yang mempunyai berat badan sebelum hamil melebihi 80 kilogram atau obesiti adalah lebih berisiko untuk menghidap diabetes gestasi.

tanda kencing manis ibu hamil

Foto Kredit: sladkorna.si

2. Rasa Letih Yang Melampau

Menurut kebanyakan wanita, mereka akan berasa amat letih sepanjang mengandung, tidak kiralah pada waktu apa sekalipun.

Foto Kredit: shape.com

3. Kerap Buang Air Kecil

Kerap buang air kecil mungkin merupakan salah satu perkara biasa bagi wanita mengandung, namun sesetengah ibu hamil mengatakan bahawa kekerapannya sangat luar biasa.

Tetapi, ada juga wanita yang mengatakan bahawa mereka tidak merasai simptom ini walaupun menghidap kencing manis semasa hamil.

Foto Kredit: time.com

4. Selalu Dahaga Dan Lapar

Kehausan dan kelaparan juga adalah salah satu simptom diabetes gestasi yang perlu anda tahu. Antara tanda lain yang berkaitan termasuklah mulut yang terasa kering hingga bibir menjadi luka akibat dehidrasi.

Foto Kredit: monicalshealth.com

5. Penglihatan Yang Kabur

Selain tanda kencing manis ibu hamil yang kelihatan agak ‘normal’ seperti di atas, mungkin anda akan mengalami sedikit masalah pada penglihatan. Apabila kadar gula dalam darah terlalu tinggi, terdapat bahagian dalam mata yang akan membengkak hingga mengakibatkan penglihatan menjadi kabur buat sementara waktu.

Kekurangan gula di bawah paras normal juga boleh menyebabkan hal yang sama.

Foto Kredit: healthgrades.com

Siapa Yang Berisiko Mengalami Kencing Manis Semasa Mengandung?

Tidak semua wanita akan mengalami diabetes walaupun mempunyai semua tanda kencing manis ibu hamil seperti di atas. Namun, ada sesetengah wanita perlu berjaga-jaga sekiranya mereka mempunyai faktor risiko seperti di bawah:

  • Berumur lebih daripada 35 tahun ketika hamil.
  • Wanita yang hamil kembar atau hydramnions adalah lebih berisiko untuk menghidap kencing manis ketika hamil.
  • Pernah melahirkan bayi yang besar, sekitar 3.5-4 kg.
  • Jika anda mempunyai ibu bapa, adik-beradik yang juga mempunyai kencing manis, anda perlu lebih berjaga-jaga dari peringkat awal dan memaklumkannya kepada doktor.
tanda kencing manis ibu hamil

Foto Kredit: shutterstock.com

Jangan Risau, Kencing Manis Boleh Dikawal

Menurut Dr Izzat menerusi The Malaysian Medical Gazette, wanita yang menghidap diabetes semasa hamil tidak semestinya mengalami masalah dan komplikasi ketika bersalin nanti. Yang penting, anda perlu amat berdisiplin dalam mengamalkan diet yang sihat serta senaman.

Namun, ia boleh membawa masalah yang serius pada ibu dan juga bayi, lebih-lebih lagi jika ianya tidak dikesan awal dan dirawat dengan optimum.  Tambah beliau lagi, mengikut statistik, 1/5 ibu yang menghidap diabetes ini memerlukan rawatan insulin untuk mengawal paras gula dalam darah.

Oleh sebab itulah anda perlu menjalani pemeriksaan rutin kehamilan seperti yang ditetapkan oleh doktor sebaik saja anda disahkan hamil. Jangan lengah ya!