Sebelum umur satu bulan, bayi belum lagi boleh menunjukkan mereka sedang gembira dengan cara senyum. Memahami emosi bayi bukanlah satu perkara yang mudah, terutamanya jika anda adalah seorang ibu muda. Mereka tak mampu untuk mengekspresikan apa yang mereka rasa secara verbal.

Jadi, ianya adalah penting untuk kita mengamati tanda-tanda yang mereka tunjukkan kepada kita.  Kita sering dengar tentang cara untuk mengetahui bayi sedang sedih, tidak selesa dan sebagainya. Tapi pernahkah anda tahu, bila sebenarnya bayi anda sedang gembira dan selesa jika mereka masih belum mampu untuk senyum, apatah lagi berkata-kata?

Bayi baru lahir

Pada awal kelahiran, bayi belum boleh menunjukkan sebarang emosi positif. Jadi jangan kecewa bila anda buat semua mimik muka yang anda tahu pun tapi mereka hanya memandang anda sahaja. Buat masa ini, bayi hanya menangis atau tidak menangis sahaja.

0 hingga 3 bulan

Jika anda mendukung bayi pada usia ini dan mereka tidak membengkokkan badan mereka tapi hanya duduk tenang mengikut pangkuan tangan anda – itulah tanda mereka sedang selesa. Mereka gembira kerana anda memenuhi semua keperluan asas mereka seperti menyusu, menukar lampin dan sebagainya.

1 hingga 3 bulan

Pada usia antara 4 hingga 10 minggu kelahiran, bayi biasanya cenderung untuk senyum secara spontan. Sebelum itu, bayi akan senyum kerana mereka berasa selesa secara dalaman (seperti buang angin) atau pun senyum secara refleks ( anda perasan bila mana bayi kadang kala tersenyum sendiri sewaktu lena tidur, bukan? ) Namun, pada usia 1 hingga 3 bulan ini, mereka akan mula senyum sebagai respons kepada apa yang orang di sekeliling buat kepada mereka.

3 hingga 6 bulan

Setelah mula senyum, bayi anda akan mula ketawa pula pada usia ini. Mereka biasanya akan ketawa disebabkan oleh bunyi-bunyi lucu ataupun disebabkan oleh sentuhan anda pada tubuh badan mereka. Anda pasti boleh menghabiskan lebih banyak masa untuk bergurau dengan mereka hanya untuk mendengar mereka ketawa. Permainan “ciku cak!” adalah antara yang mesti anda cuba.

4 hingga 7 bulan

Perhatikan apa yang anda ucapkan di hadapan bayi anda pada usia ini. Bayi anda akan mula menangkap bunyian dan intonasi yang mereka dengar daripada percakapan anda. Mereka kini sudah belajar untuk bercakap bagi mengekspresikan emosi mereka. Jika mereka berceloteh dengan anda pada nada yang semakin tinggi, mereka sebenarnya menunjukkan bahawa mereka selesa untuk berinteraksi dengan anda.

12 hingga 18 bulan

Pada usia ini, bayi anda sebenarnya sudah mula pandai untuk berjenaka. Mereka akan melakukan perkara-perkara yang melucukan untuk membuat anda ketawa seperti memakai lampin di kepala dan bermacam-macam perkara lagi. Sewaktu perkembangan tumbesaran mereka ini, perkara-perkara yang mengarut ataupun kelihatan bodoh adalah sumber kelucuan bagi mereka.