Menurut sebuah kajian, hampir 40% anak kecil mempunyai tabiat ini dan biasanya sifat cerewet ini adalah sebuah fasa sementara saja. Ia dijangka akan berkurang apabila anak mencecah usia 6 tahun.

Jika anak kita jenis memilih bab makanan, boleh serabut juga kepala jadinya. Ada yang suka memilih sesetengah jenis makanan saja dan ada yang lebih suka bermain makanan dan baling pinggan ke bawah. Apapun, ibu bapa tentu risau kalau berat anak tak naik-naik dan berkali-kali ditegur oleh jururawat, bukan?

Oleh itu, cuba semak sama ada anak susah makan disebabkan oleh 7 hal ini.

7 Sebab Anak Susah Makan. Risau Berat Tak Naik-naik!

Ketahui 7 sebab ini supaya anda boleh membina strategi agar anak anda mahu makan dengan lebih berselera.

1. Keluarga Tidak Makan Semeja

Waktu makan adalah antara peluang untuk eratkan hubungan antara ahli keluarga. Tapi bila semua ahli keluarga tidak makan sekali, hilanglah selera makan si anak. Amalkan waktu makan serentak dengan ahli keluarga bersama-sama di meja makan.

Dengan cara ini, si kecil lebih mudah mengikut cara makan yang lain dan lebih seronok makan. Anak juga pasti mahu mendengar dirinya dipuji bila berjaya habiskan makan di hadapan ahli keluarga lain. Mereka juga dapat memberi sokongan kepada si kecil supaya habiskan makanan.

2. Kita Terlalu Mendesak

Sudah menjadi lumrah ibu bapa untuk berikan nutrisi terbaik untuk anak. Kita mahu perkenalkan makanan sihat untuknya. Namun begitu, bukan mudah untuk si kecil terima makanan baru dengan mudah. Kita sebagai dewasa pun tidak suka bila orang desak kita cuba makanan baru, apatah lagi kanak-kanak. Namun begitu, kita sebagai ibu bapa tidak boleh berputus asa.

Rata-rata, kanak-kanak akan mahu makan makanan baru dalam cubaan ke 8 ke 10. Apabila memperkenalkan makanan baru, jangan terus letak kuantiti yang banyak ke dalam pinggannya. Anak susah makan selalunya agak cerewet dan mengambil masa untuk menerima makanan baru, nanti membazir pula. Sebaliknya satu suapan sudah memadai. Jangan mendesak, tetapi boleh tambah makanan tersebut sedikit demi sedikit pada hidangan seterusnya hingga si anak sudah biasa.

3. Kenyang Susu / Snek

Bila anak terlalu kerap menolak makanan yang kita berikan, periksa semula makanan apa yang telah dimakan sepanjang hari. Boleh jadi kita terlebih berikannya snek seperti biskut atau susu.

Kesannya, anak akan kenyang daripada makan snek atau susu sahaja dan tidak dapat nutrisi lengkap daripada makanan utama. Seimbangkan sukatan snek dan susu anak setiap hari supaya anak mendapat khasiat seimbang.

4. Rutin Tidak Konsisten

Cuba tetapkan masa makan yang konsisten setiap hari. Pastikan anak fokus terhadap makanan tanpa gangguan televisyen atau gajet yang boleh mengalih tumpuannya ketika makan. Latih anak supaya habiskan makanan dalam masa 30 minit.

Ini kerana, sumber menunjukkan bahawa anak hanya akan fokus pada makanan 30 minit pertama waktu makan. Selepas itu, dia sudah tidak pedulikan makanannya. Oleh itu, jangan biarkan anak bermain dengan makanan atau kemam terlalu lama.

5. Bosan

Kalau asyik beri makan bubur sahaja, si anak pun bosan juga. Anak juga pasti punya kegemarannya sendiri. Ada yang suka makanan jejari yang senang dipegang, ada yang suka makanan pejal.

Apabila usia anak sudah melebihi 9 bulan, boleh perkenalkan anak dengan pelbagai rasa baru seperti keju, dan rempah ratus supaya tekaknya mudah menerima makanan baru. Terdapat pelbagai inspirasi di internet sebagai rujukan resepi-resepi menarik untuk memikat hati si anak.

6. Terpengaruh Dengan Tabiat Makan Ibu Bapa

Bagaimana kita mahu anak makan sayur bila di dalam pinggan kita sendiri tiada warna hijau langsung? Tidak adil juga namanya jika kita paksa anak makan sayur dan buah tetapi kita sendiri asingkannya dari pinggan kita sendiri.

Jadilah contoh terbaik untuk anak ikuti. Sayangi diri sendiri seperti kita sayangkan anak. Didik anak supaya mengikut corak pemakanan kita yang sihat. Katakanlah pada anak bila makan makanan sihat seperti kita, barulah kita semua gembira boleh bermain bersama.

7. Tidak Diberi Peluang Untuk Meneroka

Apabila anak diberi peluang untuk ‘bermain’ dengan makanan, barulah dia tahu apa teksturnya sebelum makan. Berikannya peluang untuk pegang sudu sendiri walaupun comot.

Tetapi jangan biarkan anak bermain dengan makanan tanpa makan pula. Kalau dibiarkan lama-lama nanti tak jadi makan pula.

anak susah makan

Jangan Cepat Berputus Asa!

Walaupun hari ini dia tidak mahu cuba sayur bayam, tidak mengapa. Jangan berputus asa. Anak juga perlu masa untuk sesuaikan diri dengan benda baru. Lama-kelamaan dia akan faham kenapa dia perlu makan makanan berkhasiat.

Jangan cepat marah bila anak susah makan dan asyik menolak semua makanan yang disediakan. Sebaliknya, ucapkan syabas padanya kerana telah mencuba makanan baru walaupun sedikit. Bila kita melihat kepada sisi positif, kita akan lebih berusaha untuk berikan yang terbaik untuk si anak.