Pada suatu masa dahulu, ramai wanita yang bersalin di rumah atas alasan jarak hospital yang jauh, tiadanya kemudahan pengangkutan yang efisyen, dan mungkin juga kerana masih ramai yang menaruh kepercayaan terhadap bidan bersalin. Namun kini, bersalin di rumah atau home birth kembali menjadi trend, seiring dengan gerakan gentle birth, lotus birth, water birth, dan sebagainya.

Dari segi zahirnya, ia mungkin dianggap kelahiran yang ideal, di mana tiada ubat-ubatan yang digunakan, tiada alatan-alatan pembedahan yang menakutkan. Di samping itu, ramai yang tertarik untuk mengikut jejak langkah mereka yang mendakwa tidak memerlukan satu jahitan pun semasa melahirkan bayi!

Walaubagaimanapun, bersalin di rumah tetap ada risikonya. Malah, kerajaan Malaysia tidak menggalakkan kelahiran di rumah memandangkan ia mungkin menyebabkan masalah serta komplikasi yang lebih besar dan tidak disedari oleh bakal ibu.

5 Risiko Bersalin Di Rumah Yang Anda Perlu Tahu

Berikut adalah risiko bersalin di rumah yang anda perlu tahu.

1. Kurangnya Pemantauan Rapi Semasa Bersalin

Berbeza dengan hospital yang dilengkapi segala jenis kemudahan, kurang pemantauan dapat dilakukan di rumah.

Contohnya, alat mengesan jantung janin (cadiotocograph) yang amat penting semasa proses bersalin. Alatan seperti ini dapat mengesan sebarang masalah awal yang berlaku seperti kekurangan oksigen, sekaligus mengelakkan komplikasi seperti kecederaan otak atau kematian bayi dalam kandungan.

2. Masalah Selepas Bersalin

Sungguhpun bayi telah selamat dilahirkan, masih terdapat risiko berlakunya masalah lain seperti kesukaran bernafas akibat bayi membuang air besar di dalam rahim hingga menyebabkan bayi tidak menangis.

Kes sebegini amat perlu ditangani dengan secepat mungkin oleh pakar kanak-kanak yang khusus. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan masalah pernafasan pada bayi dan memerlukan bantuan mesin pernafasan.

3. Pendarahan Teruk Selepas Bersalin

Pendarahan teruk selepas bersalin masih menjadi penyebab umum kematian ibu di seluruh dunia. Tanpa ubat-ubatan dan peralatan hospital yang tepat, kes sebegini sukar untuk dikendalikan.

Jika ia lewat ditangani, ia mungkin akan membahayakan nyawa si ibu.

4. Tiada Pegawai Perubatan Yang Bertanggungjawab

Mereka yang bersalin di rumah ini biasanya akan mengambil perkhidmatan seorang doula. Menurut Dr Krishna H Kumar melalui laman web Positive Parenting, doula merupakan seorang wanita yang pernah melahirkan bayi, dan yang akan hadir bersama untuk memberi anda sokongan, bantuan, dan nasihat ketika dan selepas proses kelahiran bayi anda.

Ini menunjukkan seseorang wanita tetap perlu merujuk kepada doktor untuk tujuan perubatan, terutamanya apabila berlakunya sesuatu yang di luar jangkaan.

Melalui pandangan Dr Azreen Zulaikha, melalui sebuah artikel, “…jika doula tidak dilengkapi dengan ilmu perubatan kecemasan termasuk peralatan dan ubat-ubatan, bagaimana mereka begitu berani memperjudikan nyawa ibu dan bayi di tangan mereka? Mereka mempromosikan keselesaan, tetapi mereka melepaskan tanggungjawab bila tiba bab keselamatan.”

5. Persediaan Kes Kecemasan

Akhir sekali, kelahiran di rumah tanpa kepakaran doktor terlatih dan alatan perubatan yang lengkap tentunya menjadi satu tindakan merbahaya yang dapat mengancam nyawa ibu dan bayi.

Apa sahaja boleh berlaku dalam proses kelahiran dan selepasnya. Tanpa seseorang yang berpengalaman, petunjuk dan simptom merbahaya tidak dapat dikesan lebih awal hingga menyebabkannya melarat dan lebih parah.

Utamakan Keselamatan

Kesimpulannya, utamakanlah keselamatan. Bersalin di rumah bukanlah pilihan yang ideal, lebih-lebih lagi jika anda tergolong dalam kategori berisiko tinggi. Sekalipun anda tidak menghadapi masalah sepanjang tempoh kehamilan, status tersebut boleh berubah pada saat-saat akhir.

Oleh itu, penting untuk anda mendapatkan nasihat seorang profesional yang mampu mengendalikan kes-kes kecemasan dengan cepat dan selamat apabila perlu.