Kalau diberi pilihan, tentulah setiap ibu mengandung mengimpikan cara bersalin yang paling mudah, cepat dan tanpa komplikasi. Sungguhpun begitu, ada wanita yang terpaksa bersalin secara pembedahan dan tidak dapat bersalin secara normal walaupun tidak mengalami masalah langsung sepanjang tempoh kehamilan.

Bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Sebenarnya, ada banyak sebab bersalin secara pembedahan terpaksa dijalankan atau dicadangkan oleh sesebuah pusat kesihatan. Sesetengahnya dilakukan pada situasi yang kritikal, ada sebahagian pula dicadangkan untuk mengelakkan komplikasi, dan ada juga yang dirancang (elektif).

10 Punca Wanita Terpaksa Bersalin Secara Pembedahan

Berikut adalah antara sebab mengapa bersalin secara pembedahan perlu dilakukan.

1. Plasenta Previa

Selama kehamilan, rahim wanita akan berkembang dan plasenta (uri) yang normal akan melebar ke arah atas menjauhi serviks. Plasenta previa inilah keadaan di mana plasenta ini tetap berada di bahagian bawah rahim atau dekat dengan serviks sehingga menutupi jalan laluan kelahiran.

Anda Sedang Hamil Dan Ada Masalah HB Rendah? Dapatkan Panduan Rahsia Mudah Naikkan HB Dalam 2 Minggu (Percuma). Klik SINI.

Antara gejala plasenta previa yang paling biasa adalah pendarahan tanpa disertai rasa sakit. Perdarahan tersebut biasanya terjadi pada 3 bulan terakhir masa kehamilan.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kategori plasenta previa. Hanya jika ia tergolong dalam kategori major, bersalin secara pembedahan terpaksa dijalankan.

2. Plasenta Luruh (Abruption)

Keadaan ini melibatkan proses terpisahnya plasenta dari dinding rahim yang terjadi sebelum waktu bersalin tiba. Apabila ia berlaku, bayi berisiko untuk mengalami masalah terputus bekalan nutrisi dan oksigen. Ibu mengandung mungkin akan berasa rasa sakit, mengalami pendarahan vagina, ataupun rasa cramp.

Dalam sesetengah kes, keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya kelahiran bayi pra-matang. Selain plasenta abruption, terdapat juga masalah koyakan pada rahim (uterine rupture) yang juga memerlukan seseorang wanita bersalin secara pembedahan serta-merta.

3. Kehamilan Songsang

Menurut Dr Izzat melalui Malaysian Medical Gazette, terdapat beberapa jenis songsang yang boleh berlaku pada ibu hamil. Posisi yang paling biasa extended breech di mana kedua-dua kaki terletak lurus dengan buku lali berada di sebelah kepala bayi. Maksudnya, apabila doktor membuat pemeriksaan jalan kelahiran dari vagina, mereka akan merasakan punggung bayi.

Menurut beliau, ada masanya kes ini ibu masih dibenarkan untuk bersalin secara normal.

4. Tali Pusat Jatuh (Cord Prolapse)

Keadaan ini amat jarang berlaku. Tetapi, jika ianya terjadi, pembedahan kecemasan terpaksa dilakukan dengan segera. Tali pusat jatuh berlaku apabila tali pusat terkeluar melalui serviks dan vagina sebelum bayi dilahirkan.

Pernah satu ketika, kes ‘tolak semula kepala bayi’ selepas dilahirkan menjadi viral. Keadaan tersebut sebenarnya diperjelaskan dengan mengaitkannya dengan situasi ini. Risikonya amat merbahaya dan boleh menyebabkan hypoxia (kekurangan oksigen) dan kematian. Dr Mohd Fadhli Mohd Fauzi menjelaskan, “…sesiapa yang memeriksa bukaan dan mendapati ada tali pusat / tangkai uri terkeluar, sememangnya dia akan menolaknya ke dalam bagi menyelamatkan bayi. Dalam situasi tertentu, kepala bayi (yang masih dalam rahim) akan ditolak sedikit bagi mengelakkan ia menekan tali pusat / tangkai uri yang terkeluar dan seterusnya pembedahan kecemasan akan dilakukan.”

5. Bayi Lemas (Fetal distress)

Punca bayi lemas dalam kandungan adalah kekurangan oksigen pada bayi dalam kandungan. Ia dikesan melalui tanda denyutan jantung bayi yang menjadi perlahan – iaitu jauh lebih rendah berbanding kadar normal.

Sekiranya ia berlaku, pembedahan caesarean perlu dilakukan secepat mungkin untuk menyelamatkan nyawa bayi.

6. Bukaan Lambat

Menurut BabyCenter, jika bukaan rahim terlalu lambat – iaitu tidak terbuka pada kadar sekurang-kurangnya 0.5cm setiap jam dalam masa 4 jam, ia mungkin salah satu tanda bermasalah.

Umumnya, proses kelahiran ini menjadi lambat tanpa sebarang sebab tertentu. namun ia biasanya dikaitkan dengan posisi bayi, kontraksi yang lemah, dan saiz pelvis ibu yang kurang sesuai.

7. Ulangan / Repeat Caesarean

Menurut sumber, 60-80% wanita yang pernah bersalin secara pembedahan boleh bersalin secara normal. Keadaan ini digelar vaginal birth after cesarean (VBAC).

Sungguhpun begitu, terdapat kes tertentu di mana ia boleh menyebabkan masalah seperti rahim pecah dan risiko kematian pada bayi. Sekiranya terdapat tanda-tanda komplikasi, pembedahan Caesarean terpaksa dijalankan untuk menyelamatkan keadaan.

8. Masalah Darah Tinggi / Kencing Manis Semasa Hamil

Darah tinggi ketika hamil dikaitkan dengan pre-eklampsia, di mana kondisi ini boleh menyebabkan plasenta tidak dapat menyalurkan jumlah darah dan oksigen yang cukup untuk bayi.

Bagi pesakit kencing manis atau diabetes gestasi, ibu hamil berkemungkinan mempunyai saiz bayi yang besar atau komplikasi kesihatan yang lain. Semua ini antara punca anda bermasalah untuk melahirkan bayi tersebut secara normal.

9. Masalah Tumbesaran Bayi

Masalah tumbesaran bayi seperti pembesaran terbantut (IUGR) kebanyakannya mempunyai masalah mudah lemas semasa bersalin. Oleh itu, pembedahan dipilih sebagai cara paling selamat untuk mengelakkan sebarang komplikasi lain semasa bersalin.

10. Bayi Kembar

Memang ada kelahiran kembar yang dibenarkan untuk lahir secara normal. Namun, ia bergantung kepada posisi, berat badan, dan usia dalam kandungan.

bersalin secara pembedahan

Ibu Pun Perlu Ada Ilmu, Ya!

Doktor hanya memberi nasihat berdasarkan pengetahuan dan pengalaman mereka. Tidak salah untuk anda mendapatkan pendapat kedua. Namun, perlu diingat bahawa tiada doktor yang mahu membuat keputusan yang boleh mencederakan pesakit mereka.

Dalam pada itu, ibu juga perlu mempunyai ilmu tentang proses bersalin agar anda boleh mengenal tanda bahaya dan seterusnya membuat keputusan yang selamat untuk kelahiran bayi.