Untuk pengetahuan anda, jerawat pada bayi adalah kondisi kulit yang berlaku pada 40% bayi baru lahir. Kondisi ini mungkin boleh berlarutan sehingga usianya 3 ke 4 minggu. Selain itu, ia juga boleh berlaku pada bila-bila masa atas pelbagai faktor.

5 Perkara Ibu Bapa Perlu Tahu Tentang Jerawat Pada Bayi

Berikut adalah 5 perkara tentang jerawat pada bayi yang patut kita tahu, terutamanya bagi yang baru bergelar ibu bapa.

1. Ada Beberapa Jenis ‘Jerawat’

Jerawat bayi rupanya lebih kurang dengan jerawat pada orang dewasa. Berbonggol dengan isi dan merah di sekitarnya. Jika ianya merebak dan banyak, biasanya ia adalah berpunca daripada alahan seperti eczema.

Satu lagi kondisi kulit bayi iaitu milia, di mana rupanya seakan ‘whitehead’ kecil di sekitar muka bayi. Kondisi ini adalah perkara biasa pada bayi baru lahir. lama kelamaan ia akan hilang sendiri jika muka bayi sentiasa dalam keadaan bersih.

2. Punca Jerawat Pada Bayi

Sungguhpun pada umumnya punca jerawat pada bayi masih belum diketahui dengan jelas, tetapi ada yang mengaitkannya dengan hormon dan pemakanan ibu.

Menurut laman web Essential Baby, bayi kecil terkena jerawat bukan kerana hormonnya sendiri tetapi hormon ibunya. Sebahagian hormon ibu beralih ke bayi dan terbawa sehingga lahir. Jerawat pada bayi menunjukkan yang masih terdapat sisa hormon ibu pada bayi. Tubuh bayi akan membesar dan sisa hormon ibu akan lama-kelamaan hilang sendiri. Pada waktu ini pori pada kulit bayi dan kelenjar minyaknya masih baru dan mudah terkena jerawat.

3. Jerawat Pada Bayi Hanya Sementara

Jangan cepat panik bila ternampak muka comel bayi tumbuh jerawat. Keadaan ini adalah biasa dan bersifat sementara. Jerawat bayi juga akan hilang sendiri tanpa kesan parut. Jangan pula cepat-cepat lakukan rawatan sendiri di rumah tanpa usul periksa.

Asalkan kita sentiasa mengamalkan kebersihan pada anak, masalah jerawat tidak akan melarat. Oleh itu,jangan sekali-kali picit, cuci muka bayi dengan sabun, skrub atau sapu losyen padanya. Dikhuatiri makin teruk pula jadinya nanti.

4. Anda Boleh Mengawalnya

Jerawat bayi bukanlah kondisi serius walaupun kadang-kadang ia boleh tumbuh di tempat lain seperti belakang leher dan badan. Cara paling selamat untuk rawatan jerawat bayi adalah membersihkan bahagian jerawat dengan air bersih.

Sisa-sisa seperti air liur, muntah atau susu tumpah di bayi perlu dibersihkan segera kerana ini juga boleh menyumbang kepada jerawat merebak. Petua lain ialah dengan menyapu sedikit bahagian berjerawat dengan susu badan kerana kandungan aktibakterianya yang dapat membunuh kuman pada permukaan kulit.

5. Periksa Sabun Yang Digunakan

Kulit bayi yang selembut sutera sangat sensitif pada sabun yang kasar atau bertoksik. Pencuci baju yang kasar juga boleh membuatkan kulit sensitif bayi terkesan dan meyebabkan jerawat tumbuh. Ambil perhatian apabila memilih sabun dan pencuci baju bayi terutama pada awal usia kelahirannya.

Apabila memilih pencuci baju, elakkan pencuci yang mengandungi pewangi kerana dikhuatiri pewangi mengandungi bahan kimia yang membahayakan kulit bayi. Buat pilihan yang bijak dengan membeli pencuci “eco-friendly” atau mesra alam. Untuk sabun badan dan syampu pula, elakkan yang mengandungi Sodium Laureth Sulfate (SLES) atau Sodium Lauryl Sulfate (SLS). Dua kandungan ini bahaya untuk kulit bayi.

jerawat pada bayi

Foto Kredit: eej.mn

Bila Perlu Rawatan Doktor?

Jerawat pada bayi baru lahir biasanya akan pudar sendiri semakin dia membesar. Namun begitu, jika jerawat masih berlarutan sehingga 6 bulan ke atas atau mengganggu keselesaannya, dapatkanlah nasihat doktor.

Ambil perhatian juga jika jerawat ini berlaku bersama simptom lain seperti demam dan nafas berdehit, segera ke doktor. Kondisi ini mungkin disebabkan oleh alergi.