Selain ketidakselesaan biasa semasa mengandung seperti mudah letih, lenguh-lenguh badan dan muntah-muntah, ibu hamil juga mudah terkena sakit gigi. Ia berpunca daripada perubahan hormon dan boleh bertambah buruk akibat simptom kehamilan yang mempengaruhi kesihatan mulut seperti morning sickness. Sakit gigi ketika hamil sering berlaku apabila kandungan mencapai usia trimester kedua.

6 Cara Mengatasi Sakit Gigi Ketika Hamil

Ibu mengandung akan cenderung mengalami masalah gusi seperti gusi bengkak dan berdarah serta gigi berlubang. Ketahui beberapa petua untuk mengatasi masalah sakit gigi ketika hamil.

1. Bersihkan Mulut Sekerap Mungkin

Muntah-muntah bukan sahaja memeritkan, malah memberi kesan buruk pada kesihatan gigi. Muntah mengandungi asid yang mampu menghakis permukaan enamel pada gigi jika dibiarkan dalam mulut.

Permukaan enamel yang terdedah menyebabkan gigi sensitif. Selepas muntah-muntah, pastikan bersihkan mulut lebih baik jika berus gigi dengan sempurna untuk keselesaan mulut dan kesihatan gigi.

2. Elakkan Makanan Terlalu Panas Atau Sejuk

Gigi akan terasa lebih sensitif sewaktu kehamilan kerana hormon yang berubah dalam badan. Elakkan makanan yang boleh menjadi punca kepada gigi sensitif seperti makanan dan minuman yang terlalu panas atau sejuk.

Sakit gigi ketika hamil adalah bersifat sementara. Jadi, jangan terlalu sedih dan risau. Selepas melahirkan anak nanti bolehlah sambung menikmati aiskrim dan teh panas kegemaran anda!

3. Kurangkan Gula / Makanan Manis

Jangan gunakan alasan ‘makan untuk dua orang’ untuk anda makan banyak terutamanya makanan manis dan tidak berkhasiat. Elakkan makanan bergula untuk kesihatan badan dan gigi.

Tukarkan gula buatan dalam makanan dan minuman kepada gula semulajadi pada buah-buahan. Pengambilan gula bukan sahaja tidak baik untuk badan, malah memberi kesan pada gigi dengan pembentukan asid pada permukaan gigi dan seterusnya membuatkan gigi berlubang.

4. Ambil Kalsium Mencukupi

Pengambilan kalsium yang mencukupi amat penting untuk kesihatan ibu mengandung dan anak. Kekurangan kalsium membuatkan gigi mudah berlubang terutamanya sewaktu kehamilan.

Oleh itu, tingkatkan kalsium pada diet harian. Pil supplemen kehamilan hanya merangkumi 10% kalsium harian. Tambahkan kalsium pada makanan seperti yogurt, susu soya dan tauhu untuk kesihatan optimum bayi dan anak.

5. Petua Bawang Putih

Bawang putih adalah petua tadisional yang sering digunakan untuk mengubati sakit gigi. Hal ini kerana bawang putih mengandungi allicin yang bersifat anti radang mampu bertindak mengurangkan kesakitan pada gigi.

Caranya ialah dengan menghancurkan dua ulas bawang putih dan garam sehingga lumat. Kemudian, lumurkan pada bahagian yang sakit selama 30 minit. Ulangi dalam 4 kali sehari jika perlu.

6. Tekankan Penjagaan Gusi

Selain sakit gigi ketika hamil, ibu juga amat cenderung untuk terkena penyakit gusi. Hal ini adalah disebabkan oleh perubahan hormon yang membuatkan badan kurang bertindak melawan bakteria pada gusi. Jika tidak dirawat, kesihatan gusi akan menjadi lebih teruk dan akan menyebabkan gingivitis. Lebih 50% ibu mengandung tidak terkecuali terkena penyakit ini.

Kesihatan gusi perlu diambil berat ketika mengandung dengan flos gigi sehari sekali dan gunakan berus lembut ketika memberus gigi untuk mengurangkan kesakitan gusi. Amalkan juga kumur dengan air garam suam sehari sekali untuk elakkan gusi bengkak.

sakit gigi ketika hamil

Foto Kredit: dailymedicalinfo.com

Jangan Takut Berjumpa Doktor Gigi

Tanggapan bahawa pemeriksaan gigi ketika mengandung boleh menjejaskan kandungan adalah tidak benar sama sekali. Malah, ibu mengandung perlu memberi perhatian lebih pada kesihatan oral akibat perubahan hormon yang berlaku padanya. Menurut pakar, kesihatan oral ibu mengandung akan bertambah baik selepas melahirkan anak.

Akan tetapi, jika kesakitan masih berlarutan, dapatkan nasihat doktor gigi secepat mungkin untuk rawatan terbaik. Sungguhpun umumnya mengambil ubat tahan sakit adalah selamat, namun, pemeriksaan dengan doktor gigi adalah lebih penting supaya masalah dapat ditangani dari akar umbinya.