“Kalau ikut ‘due date’, minggu depan dah nak bersalin ni. Memang teruja, tapi risau ada, ‘nervous’ pun ada. Apa persediaan menyambut kelahiran yang patut aku tahu sebagai suami?”

Walaupun isteri anda yang bakal memasuki bilik bersalin, jangan ingat anda tak perlu berbuat apa-apa menjelang kelahiran bayi nanti. Sebagai seorang suami, anda sebenarnya mempunyai peranan yang amat besar dalam memastikan isteri anda dapat menjalani proses bersalin dan berpantang dengan selesa.

Berikut adalah 7 perkara yang patut anda lakukan sebagai persediaan menyambut kelahiran bayi pertama (dan juga yang seterusnya).

 

7 Persediaan Menyambut Kelahiran Yang Suami Anda Patut Tahu

Berikut adalah 7 persediaan menyambut kelahiran yang seorang suami patut lakukan.

1. Mempunyai Perancangan Bersalin

Apabila hari yang dinanti semakin hampir, anda sepatutnya sudah boleh membayangkan apa yang patut anda lakukan pada hari tersebut. Rancangkan hospital bersalin yang anda mahukan, persiapkan segala kelengkapan bayi dan isteri, dan jangan lupa buku ‘pink’ atau rekod kesihatan kehamilan isteri anda.

Jika isteri anda mempunyai sebarang masalah tertentu sepanjang kehamilan, pastikan anda peka terhadap ubat-ubatan yang diambilnya.

persediaan menyambut bayi

Foto Kredit: en.publika.md

2. Mesti Bertenang

Jangan panik! Inilah antara peranan paling penting seorang suami perlu lakukan apabila isteri anda mula mempunyai tanda-tanda bersalin.

Seeloknya, seorang suami boleh mengikuti kelas antenatal yang disediakan oleh hospital-hospital berdekatan. Melalui kelas ini, anda akan diajar pelbagai perkara berkaitan persediaan proses bersalin, menguruskan kesakitan bersalin, keperluan isteri semasa berpantang, dan macam-macam lagi.

3. Tahu Cara Menyambut Kelahiran Bayi

Sebagai bakal bapa, andalah yang bertanggungjawab untukmemperdengarkan kalimah azan dan iqamah kepada bayi yang lahir nanti.

Selain itu, ketahuilah serba sedikit tentang amalan menyambut kelahiran seperti bertahnik dan doa yang patut dibacakan seperti di bawah.

Bagi bayi perempuan: اَللَّهُمَّ إِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Bagi bayi lelaki: اَللَّهُمَّ إِنِّي أُعِيذُهُ بِكَ وَذُرِّيَّتَهُ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Yang bermaksud “Ya Allah, aku memohon perlindungan kepada-Mu untuknya dan untuk keturunannya dari setan yang terkutuk.”

Foto Kredit: disabilityinfo.am

4. Biasakan Diri Dengan Kerja Rumah

Sejak isteri mengandung lagi, tentu ramai suami telah mula mengambil alih sedikit kerja rumah yang biasa dilakukan oleh isteri. Dengan cara ini, anda telah mempersiapkan fizikal dan mental anda dalam membantu menguruskan rumah serta isteri yang bakal berpantang.

Jangan ingat anda boleh makan luar dan hantar baju ke kedai dobi sepanjang tempoh isteri berpantang! Ada masanya akan timbul keperluan untuk anda memasak dan juga melakukan erja-kerja rumah yang mungkin anda tak pernah lakukan sebelum ini.

Jadi, sekiranya anda masih belum pandai menggunakan mesin basuh atau dapur masak, inilah masa terbaik untuk anda mula mempelajarinya!

Foto Kredit: gettyimages.com

5. Cuba Mengurus Bayi

Kebanyakan lelaki biasanya takut-takut untuk memegang bayi, menukar lampin, atau mendukungnya. Sebenarnya, seorang wanita juga akan berasa kekok apabila pertama kali berhadapan dengan situasi ini.

Maka, jangan mengehadkan keupayaan diri anda dan cuba ambil peluang sebanyak mungkin untuk cuba menguruskan bayi anda. Ia tentu akan membantu meringankan isteri anda di samping membantu proses ‘bonding’ dengan bayi.

Foto Kredit: kipymagazine.com

6. Tahu Makanan Orang Berpantang

Salah satu persediaan menyambut kelahiran bukan saja mengurus bayi, tetapi isteri anda. Oleh itu, luangkan sedikit masa untuk mengetahui makanan yang sesuai untuk diberikan kepada isteri yang sedang berpantang. Cari senarai barang makanan tersebut dan simpan supaya mudah anda membeli barang dapur / buah-buahan untuk stok di rumah.

Lebih baik lagi, cari resipi-resipi mudah yang kini banyak dikompilasikan di internet dan ‘print’kan untuk rujukan anda memasaknya nanti. Mudah, bukan?

Foto Kredit: recepti.gotvach.bg

 

7. Jadi Penyokong Utama Isteri

Dalam tempoh mengandung, bersalin, dan berpantang, andalah orang pertama yang diharapkan oleh isteri. Oleh itu, bersedialah melayani karenah mereka dan cubalah menjadi pendengar setia terhadap semua yang dihadapi oleh mereka. Kadangkala, mereka hanya ingin berkongsi perasaan gembira, teruja, sedih, marah, dan letih. Bukannya mahu anda menyelesaikan semua perkara buat mereka.

Di samping itu, fahamilah emosi mereka yang turun naik turut disebabkan oleh perubahan hormon dan perubahan fizikal yang mereka alami. Ingat, kehamilan adalah sesuatu yang ‘besar’ dan mungkin memutarbalikkan perangai isteri anda 180 darjah!

persediaan menyambut kelahiran

Foto Kredit: famili.fr

Isteri Anda Sangat Memerlukan Anda!

Walaupun seorang isteri mungkin tidak memberitahu anda, percayalah bahawa mereka amat memerlukan sokongan anda untuk menjadi seorang ibu yang baik.

Maka, carilah jalan dan bantulah mereka menghadapi proses mengandung, bersalin, berpantang, dan seterusnya menguruskan kehidupan sebagai sebuah unit keluarga. Mudah-mudahan usaha anda akan menambahkan lagi keharmonian dalam rumah tangga.