HFMD atau Hand Foot Mouth Disease (Penyakit tangan, kaki dan mulut) merupakan jangkitan virus yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang berusia di bawah 5 tahun. Jangkitan menyebabkan ruam di kawasan mulut, tangan dan kaki.

Apakah tanda-tanda penyakit tangan, kaki dan mulut?

Ruam di tangan, kaki dan mulut merupakan tanda utama HFMD. Selain itu terdapat beberapa tanda-tanda lain juga yang boleh dialami seperti,

  • Demam
  • Sakit tekak
  • Badan rasa lemah
  • Bintik merah yang sakit pada lidah, gusi dan tekak
  • Hilang selera makan
  • Bayi meragam

 

Ruam pada kawasan mulut akibat HFMD

Bagaimana kanak-kanak boleh terkena jangkitan ini?

Virus daripada persekitatan boleh menyebabkan jangkitan jika kebersihan tidak dijaga. Penyakit ini adalah berpunca daripada orang yang telah dijangkiti virus. Virus yang menyebabkan HFMD boleh didapati pada;

  • Air liur, kahak, hingus;
  • cecair gelembung pada kulit;
  • dan najis pesakit

Kanak-kanak mudah mendapat jangkitan virus jika mereka terdedah dengan pesakit HFMD atau sesiapa sahaja yang membawa virus HFMD tanpa disedari terutamanya orang dewasa. Disebabkan sistem imun orang dewasa lebih kuat berbanding kanak-kanak, biasanya mereka tidak akan menunjukkan sebarang tanda sakit apabila dijangkiti.

Oleh sebab itu, sangat penting untuk orang dewasa menjaga kebersihan sebaiknya bagi mengelakkan virus tersebar kepada kanak-kanak tanpa disedari. Namun begitu, sebilangan orang dewasa juga boleh mengalami HFMD.

Apakah cara untuk mengelakkan virus HFMD daripada tersebar?

Kebersihan merupakan kunci utama atasi HFMD. Ikuti tips berikut jika ingin lindungi keluarga anda daripada HFMD;

  • Basuh tangan dengan kerap menggunakan sabun terutamanya selepas menukar lampin. Ajar juga anak anda membasuh tangan dengan betul terutamanya sebelum makan. Untuk anak kecil, tangan mereka juga perlu kerap dibasuh kerana mereka suka memasukkan tangan ke dalam mulut
  • Gunakan tisu apabila batuk dan bersin untuk mengelakkan sebarang virus tersebar ke udara. Kemudian, buang segera tisu tersebut ke dalam tong sampah. Membuangnya merata-rata hanya akan memudahkan lagi penyebaran virus
  • Basuh alat permainan anak sekerap yang boleh. Selain itu, bersihkan juga tempat si kecil bermain dengan menggunakan sabun pembasmi kuman

Atasi jangkitan HFMD dengan kerap membasuh tangan

Jika anda atau si kecil mengalami HFMD, berikut adalah cara bagaimana untuk mengelakkan jangkitan tersebar kepada orang lain pula;

  • Elakkan sentuhan rapat seperti ciuman, pelukan dengan pesakit HFMD
  • Nyahkuman dengan lebih kerap permukaan di rumah yang selalu disentuh seperti tombol pintu, alat permainan, pemegang peti sejuk dan lain-lain
  • Elakkan berkongsi tuala dan barang-barang di rumah yang lain seperti cawan dan sudu
  • Tiap kali hendak membasuh pakaian kotor atau cadar dan bantal pesakit, rendam dengan air panas dahulu
  • Jangan hantar anak yang sakit ke taska atau tadika jika mereka mengalami HFMD. Sekiranya anak kurang sihat (demam biasa), sebaiknya jangan hantar juga ke pusat asuhan kerana sistem imun mereka lemah dan lebih mudah mendapat jangkitan yang tidak diingini.
  • Dapatkan panduan di tadika anak anda mengenai tempoh untuk tidak hadir ke pusat asuhan selepas anak mengalami HFMD. Walaupun anak sudah sihat daripada HFMD, virus di dalam badan mereka sebenarnya masih aktif dan boleh menjangkiti anak yang lain pula.

Nyahkuman tombol pintu untuk mengelak jangkitan virus HFMD

Tips kurangkan rasa sakit ruam pada mulut semasa makan

Anak yang mengalami HFMD pasti akan merasa sakit pada tekak dan mulut akibat ruam. Sebilangan makanan dan minuman akan menyebabkan mulut dan tekak sakit semasa di makan. Cuba tips ini untuk mengurangkan rasa sakit semasa makan,

  • Hisap ais berperisa/aiskrim Malaysia atau ais kiub
  • Makan aiskrim atau soft aiskrim yang lembut
  • Minum air yang sejuk seperti susu atau air kosong sejuk
  • Elakkan makanan masam seperti buah oren, jus buah masam atau air gas
  • Elakkan makanan yang masin dan pedas
  • Makan makanan yang lembut, tidak memerlukan banyak tenaga untuk mengunyah
  • Berkumur dengan air suam setiap kali selepas makan
  • Sekiranya si kecil pandai berkumur tanpa menelannya, berkumur menggunakan air suam ditambah sedikit garam boleh membantu mengurangkan lagi rasa sakit di dalam mulut. Berkumur beberapa kali sehari boleh mengurangkan bengkak dalam mulut dan tekak.

Semoga nukilan kali ini bermanfaat kepada para ibu bapa. Insya Allah, kami mendoakan agar anak anda sihat sentiasa.

Sumber: webmd.com, mayoclinic.org, nhs.uk, cdc.gov

Sumber gambar: womenfitness.net, wikisickness.com, huffingtonpost.com, getdoc.co