Travel atau membuat perjalanan jauh ada kalanya begitu mencabar walaupun bagi seorang yang tidak hamil. Namun, bukan mudah untuk mengelakkan perjalanan jauh semasa mengandung selama 9 bulan kehamilan kerana ada kalanya ia terpaksa diharungi atas sebab-sebab tertentu.

Bolehkah Membuat Perjalanan Jauh Semasa Mengandung?

Sebenarnya, membuat perjalanan jauh semasa mengandung adalah selamat, seperti yang dijelaskan sebuah artikel oleh Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Universiti Sains Malaysia. Malah, menurut beliau lagi, perjalanan masih boleh dilakukan walaupun sudah menghampiri tarikh kelahiran. Cuma, ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan.

Antaranya:

1. Buat Persediaan Awal

Pastikan keadaan kesihatan ibu mengandung adalah baik dan telahpun memenuhi semua temujanji pranatal. Jangan lupa bawa sekali buku rekod kesihatan ibu mengandung untuk dijadikan rujukan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Jika pergi ke tempat baru, buat sedikit kajian tentang destinasi yang ditujui agar terdapat kemudahan berhampiran untuk memeriksa kandungan serta kesihatan anda.

Anda Sedang Hamil Dan Ada Masalah HB Rendah? Dapatkan Panduan Rahsia Mudah Naikkan HB Dalam 2 Minggu (Percuma). Klik SINI.

Di samping itu, pastikan semua ubat-ubat yang dipreskripsikan oleh doktor telah dibawa bersama.

2. Waktu Paling Elok Untuk Travel

Menurut doktor, waktu paling ideal untuk membuat perjalanan jauh semasa mengandung anda adalah antara minggu ke 14 hingga 28, iaitu sekitar trimester kedua. Ini kerana, kebanyakan wanita tidak lagi mengalami masalah kehamilan seperti mual, loya, atau keletihan yang melampau.

Jika terlalu lewat atau menghampiri tarikh kelahiran. dikhuatiri berlakunya sakit-sakit bersalin sebelum cukup tempoh 37 minggu (kelahiran pramatang).

Walaubagaimanapun, ia bergantung juga kepada keadaan kesihatan anda secara keseluruhannya.

3. Semasa Perjalanan Darat

Membuat perjalanan darat seperti menaiki kereta, bas, atau kereta api biasanya lebih mudah berbanding perjalanan udara. Namun, ia mungkin akan memakan masa yang lebih lama.

Oleh itu, dapatkan rehat yang cukup dan kerapkan berhenti di tempat yang selesa supaya dapat menggerakkan anggota badan. Apabila duduk terlalu lama, ia mungkin menyukarkan pengaliran darah berlaku dengan lancar.

Walaupun terasa kurang selesa untuk mengenakan tali pinggang keledar, jangan sesekali mengabaikannya. Apa yang boleh anda lakukan adalah melaraskannya mengikut keselesaan anda.

4. Semasa Perjalanan Udara

Tiada masalah untuk ibu mengandung menaiki kapal terbang. Lazimnya penerbangan domestik membenarkan ibu mengandung untuk membuat perjalanan jauh semasa mengandung sehingga usia kandungan 34 minggu. Namun, ada penerbangan tempatan, contohnya AirAsia, yang memerlukan ibu hamil membawa surat rujukan doktor bagi kandungan melebihi 27 minggu. Apapun, setiap syarikat penerbangan mempunyai polisi mereka tersendiri. Oleh itu, periksa dahulu terma dan syarat penerbangan dengan teliti sebelum membuat perjalanan jauh semasa mengandung.

Semasa dalam penerbangan, banyakkan meminum air kerana keadaan kelembapan adalah rendah di dalam kabin. Anda boleh bangun dan bergerak setiap setengah jam bagi melancarkan pengaliran darah dan memberi keselesaan.

Selain itu, jika anda bakal pergi ke destinasi antarabangsa, pastikan anda mengambil tahu tentang notifikasi kesihatan di negara tersebut sekiranya berlaku sebarang wabak seperti Virus Zika.

5. Tanda Bahaya Yang Perlu Diketahui

Sekiranya terdapat tanda merisaukan seperti pendarahan, kekejangan yang teruk, rasa kontraksi, masalah penglihatan yang timbul secara tiba-tiba, elakkan daripada memaksa diri membuat perjalanan jauh semasa mengandung.

Selain tanda tersebut, golongan yang berisiko dan mempunyai masalah kehamilan seperti darah tinggi, kencing manis, atau masalah uri di bawah juga tidak digalakkan untuk membuat perjalanan jauh tanpa persediaan dan surat kebenaran doktor.

perjalanan jauh semasa mengandung

Foto Kredit: ellitoral.com.ar

Utamakan Keselamatan Dan Keselesaan

Paling penting, dapatkan keselesaan yang paling optimum sepanjang perjalanan jauh. Sekiranya terlibat di dalam kemalangan, walaupun kemalangan kecil, berjumpalah doktor untuk memastikan kehamilan anda benar-benar selamat.