Susu dan produk tenusu memberi nutrien yang signifikan kepada ibu mengandung. Sungguhpun nutrisi yang terkandung di dalamnya boleh diperolehi daripada sumber makanan lain, terdapat beberapa kajian klinikal yang telah membuktikan manfaat susu untuk ibu mengandung.

5 Kepentingan Susu Untuk Ibu Mengandung

Menurut laporan USDA menerusi laman kesihatan LiveStrong, wanita hamil disyorkan untuk mengambil 3 cawan susu atau produk tenusu setiap hari. Susu rendah lemak adalah pilihan yang lebih sihat berbanding susu penuh krim.

Berikut adalah kepentingan susu untuk ibu mengandung.

1. Sumber Kalsium Yang Penting

Keperluan nutrien semasa hamil meningkat, terutamanya semasa trimester kedua dan ketiga. Semasa hamil, wanita memerlukan lebih 1,000mg kalsium setiap hari. Secawan susu mengandungi kira-kira 305mg kalsium. Maka, 3 cawan susu dapat membantu anda memenuhi keperluan kalsium harian yang diperlukan ketika mengandung.

Kalsium yang terkandung dalam susu penting untuk pembentukan gigi dan tulang bayi dalam kandungan. Selain itu, kalsium juga memiliki peranan penting dalam membantu melancarkan rangsangan pada saraf dan otot janin.

2. Mengurangkan Masalah Kehamilan

Semasa hamil, ibu mengandung cenderung untuk mengalami masalah pedih ulu hati dan gastrik. Memandangkan susu adalah sejenis antasid, ia dapat berperanan melegakan simptom ini.

3. Mencegah Risiko Bayi Kurang Berat

Selain kalsium, susu untuk ibu hamil juga mengandungi vitamin D, nutrisi penting untuk mencegah masalah bayi kurang berat.

Sebuah kajian yang diterbitkan dalam Annals of Neurology pada tahun 2011 juga menemukan bahawa pengambilan produk tenusu dengan vitamin D selama kehamilan membantu mengurangkan risiko multiple sclerosis, iaitu sejenis komplikasi saraf pada bayi.

4. Menggalakkan Perkembangan Janin

Protein yang terdapat dalam susu mempunyai fungsi yang mustahak untuk kehamilan. Antaranya termasuklah pembentukan rahim, darah, dan tisu bayi.

Di samping itu, susu juga mengandung zat yang penting seperti folat dan DHA yang berperanan dalam pembentukan saraf serta otak janin.

5. Manfaat Jangka Masa Panjang Untuk Anak

Kebaikan susu untuk ibu mengandung bukan sekadar dapat dilihat pada perkembangan janin, tetapi juga memberi kesan terhadap perkembangan anak dalam jangka masa panjang.

Menurut laporan oleh Daily Mail, saintis mendapati wanita hamil yang meminum sekurang-kurangnya 150ml susu setiap hari berpotensi mendapat anak yang lebih tinggi dan cepat berkembang berbanding mereka yang kurang minum susu semasa hamil.

Sebuah lagi penemuan juga mendapati anak-anak ini memiliki tahap insulin yang lebih tinggi dalam darah, lalu mengurangkan risiko terhadap diabetes type 2.

susu untuk ibu mengandung

Foto Kredit: livestrong.com

Loya Minum Susu Semasa Hamil, Apa Solusinya?

Susu hanyalah bertindak sebagai suplemen iaitu tambahan, sedangkan keperluan nutrisi yang paling utama adalah daripada makanan. Terdapat pelbagai alternatif makanan yang sihat dan sebaiknya hidangan setiap hari dipelbagaikan agar nutrisi yang diterima oleh tubuh lebih menyeluruh. Jika loya untuk meminum susu, anda juga boleh mempelbagaikan cara pengambilannya seperti mencampurkannya dalam bijirin/oat, membuat smoothie, atau puding.

Namun, sekiranya anda tergolong dalam kumpulan berisiko dan mengalami masalah untuk makan dengan mencukupi, anda mungkin perlu mendapatkan nasihat doktor agar mereka mempreskripsikan suplemen khusus bagi memenuhi keperluan kehamilan.