Demam yang dialami si kecil pasti merisaukan para ibu-bapa. Sekiranya tidak mendapatkan rawatan yang betul ia sebenarnya boleh membahayakan nyawa! Namun banyak mitos berkenaan demam yang ibu bapa anggap ia sebagai fakta. Adakah anda juga ada menyalah anggap salah satu mitos di bawah ini sebagai fakta?  Jom tambah ilmu!

Mitos 1: Demam adalah sesuatu yang tidak baik kepada bayi

Fakta: Demam sebenarnya petanda yang baik bahawa tubuh si kecil mampu bertindak balas melawan jangkitan virus atau kuman. Suhu badan yang panas boleh membunuh bakteria atau virus di dalam badan.

Suhu di antara 37.8°C-40°C merupakan suhu demam yang biasa terjadi pada kanak-kanak. Namun untuk kanak-kanak berumur 3 bulan dan kebawah, suhu 38°C ke atas adalah berbahaya. Anda perlu membawa anak anda ke klinik dengan segera.

Mitos 2: Suhu badan 40°C ke atas boleh menyebabkan kerosakan otak

Fakta: Tidak. Demam yang disebabkan oleh jangkitan kuman/virus tidak akan menyebabkan kerosakan otak. Namun suhu badan 42°C ke atas boleh merosakkan otak. Tidak kira akibat demam atau tidak. Persekitaran yang terlalu panas juga boleh meningkatkan suhu badan sehingga paras yang bahaya. Contohnya, kanak-kanak yang berada di dalam kereta pada waktu yang sangat panas tanpa sebarang pendingin hawa.

Suhu di antara 37.8-40°C adalah suhu biasa untuk demam kanak-kanak. Semakin tinggi suhu (selagi di bawah 42°C) tidak semestinya menandakan demam si kecil semakin teruk. Ada kanak-kanak yang mencecah suhu 38°C tapi masih aktif bermain.

Ada juga yang baru sahaja suhu tinggi sedikit daripada angka 37°C tetapi sudah kelihatan terlalu sakit. Sekiranya anak kelihatan terlalu lemah dan sakit, bawalah mereka segera ke klinik walaupun suhu tidak terlalu tinggi.

suhu demam

Mitos 3: Bayi yang demam akan mendapat sawan dan ia berbahaya kepada otak

Fakta: Bayi yang demam tidak semestinya akan mendapat sawan. Hanya 4% daripada kanak-kanak akan mengalami sawan akibat demam. Sawan demam tidak akan merosakkan otak atau meningkatkan risiko mendapat eplepsi. Ia juga tidak akan menganggu perkembangan atau menyebabkan kurang upaya dalam pembelajaran.

Walaupun kelihatan menakutkan, tapi kebiasaannya ia akan berhenti dalam masa kurang 5 minit tanpa memerlukan sebarang ubat sawan. Namun demikian, bawalah anak ke klinik dengan segera jika mereka mengalami sawan.

Mitos 4: Bayi akan demam apabila gigi pertama mula tumbuh

Fakta: Perkara ini merupakan mitos yang sering dianggap betul dalam kalangan ibu bapa. Disebabkan ini, ramai ibu bapa yang mengambil mudah demam yang dialami anak mereka jika ia kebetulan terjadi semasa gigi sedang tumbuh. Menurut kajian daripada Journal Pediatric, tidak ada bukti yang kukuh bahawa pertumbuhan gigi menyebabkan demam.

Sekiranya bayi mengalami demam semasa pertumbuhan gigi, mereka sebenarnya demam akibat perkara lain, bukan kerana gigi hendak tumbuh. Mungkin disebabkan jangkitan kuman atau virus. Oleh yang demikian, pastikan anak anda mendapatkan rawatan yang betul sekiranya mereka demam, tidak kira semasa gigi sedang tumbuh atau pun tidak.

bayi lemah kerana demam

Mitos 5: Bayi yang demam akan mengalami kesejukan dan perlu dipakaikan baju yang tebal

Fakta: Haba daripada badan akan hilang melalui kulit. Oleh itu, jangan pakaikan baju yang tebal pada bayi. Haba akan terperangkap dan akan menyebabkan mereka tidak selesa. Pakaikan sahaja pakaian seperti biasa agar mereka lebih mudah berpeluh dan melepaskan haba.

Demam akibat jangkitan bakteria dan virus memang akan menyebabkan badan menggigil dan kesejukan. Tapi mereka bukanlah kesejukan kerana suhu persekitaran. Apa yang penting sekali ialah memastikan anak yang demam tidak mengalami dehidrasi (kekurangan air). Berikan mereka air yang cukup atau berikan susu badan/susu formula untuk anak yang masih kecil.

Kesimpulan

Semoga nukilan ini memberikan sedikit ilmu penting mengenai demam dan kanak-kanak. Namun, anda perlu mendapatkan nasihat daripada doktor sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan tentang demam berkaitan anak anda. Setiap kanak-kanak adalah berbeza dan rawatan juga mungkin berbeza. Artikel ini hanyalah untuk pengetahuan umum dan bukan menggantikan nasihat pakar. Semoga bermanfaat!

Sumber: healthcare.utah.edu, Journal of Pediatric (2016)
Sumber gambar: wellbeingkid.commomjunction.comkidspot.com.au