Water birth atau kelahiran dalam air adalah salah satu teknik yang dipercayai membantu ibu mengandung mengatasi rasa kesakitan dengan berkesan. Di samping manfaat tersebut, terdapat juga risiko yang membahayakan. Sehubungan itu, Kementerian Kementerian Malaysia (KKM) telah mengeluarkan larangan bagi kaedah melahirkan bayi dalam air bermula April 2016.

Menurut sumber berita dari Astro Awani, terdapat tiga hospital di negara ini yang menawarkan perkhidmatan melahirkan normal dalam air iaitu Pantai Kuala Lumpur, Pantai Cheras dan Island Hospital di Pulau Pinang. Walaupun begitu, hanya Hospital Pantai KL yang dilaporkan menerima notis daripada KKM, melarang mereka dari meneruskan perkhidmatan itu.

Manfaat Melahirkan Normal Dalam Air

Penglibatan dan perkongsian pengalaman oleh beberapa orang selebriti seperti Diana Danielle dan isteri angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar mungkin menjadi salah satu faktor teknik bersalin dalam air kian popular di Malaysia.

Berikut adalah beberapa manfaat melahirkan normal dalam air.

1. Membantu Meredakan Kesakitan

Kebanyakan wanita yang pernah melalui pengalaman melahirkan normal dalam air mengakui bahawa proses ini amat menenangkan. Ketika sedang mengalami kontraksi, berendam di dalam kolam air dapat membantu ibu merasa lebih ringan, relaks, dan terkawal.

Anda Sedang Hamil Dan Ada Masalah HB Rendah? Dapatkan Panduan Rahsia Mudah Naikkan HB Dalam 2 Minggu (Percuma). Klik SINI.

Air juga menurunkan kadar hormon yang berkaitan dengan stres, di mana ia dipercayai merembeskan endorfin yang dapat mengurangkan rasa sakit.

2. Kurang Keperluan Ubat Tahan Sakit

Menurut Perunding Ginekologi, Obstetrik dan Pakar Kesuburan Hospital Columbia Asia, Dr. Mohd. Suhaimi Hassan menerusi sebuah akhbar, keperluan ibu untuk mendapatkan ubat pelali dan ubat tahan sakit akan berkurangan melalui kaedah ini.

Ini kerana, keadaan yang menenangkan dapat menjadi kaedah penahan sakit semula jadi semasa kontraksi berlaku. Secara tidak langsung, ia membantu memberi keselesaan serta meningkatkan tumpuan si ibu kepada keadaan bayi yang akan lahir kelak.

3. Posisi Lebih Bebas

“Ibu juga bebas untuk memilih cara paling selesa untuk bersalin dan tubuh mereka berasa ringan kerana apungan air. Jadi mereka boleh bertinggung, melutut semuanya mengikut keselesaan mereka ketika waktu bersalin. Malah, suami juga boleh turut sama berada di dalam kolam untuk memberi sokongan kepada si isteri,” jelas Dr. Choong Kuo Hsiang, seorang Pakar perbidanan dan kelahiran, Pusat Perubatan Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur.

Risiko Melahirkan Normal Dalam Air

Anda perlu faham bahawa tidak semua ibu mengandung sesuai untuk melahirkan dengan kaedah ini, terutamanya jika mereka menghadapi komplikasi semasa kehamilan seperti penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, bayi songsang, dan saiz bayi yang terlalu besar atau terlalu kecil.

Berikut adalah antara risiko yang boleh berlaku ketika melahirkan normal dalam air.

1. Jangkitan Dalam Air

Untuk bersalin di dalam air, seorang ibu perlukan kolam dengan air dengan suhu bilik 37 darjah Celsius, tidak terlalu sejuk dan tidak pula terlalu panas. Selain itu, air dalam tab khas itu juga perlu disterilkan.

Walaubagaimanapun, air ini masih mempunyai kemungkinan untuk terdedah kepada kotoran daripada tubuh ibu atau darah yang keluar semasa bersalin. Sekiranya bayi tertelan air apabila dilahirkan, ia boleh menyebabkan jangkitan.

2. Tali Pusat Terputus

Merujuk kepada Dr Suhaimi lagi, kes yang tidak diingini seperti tali pusat terputus boleh berlaku secara tidak sengaja ketika bayi cuba dikeluarkan dari di dalam air. Keadaan ini boleh membahayakan bayi dan mengakibatkan pendarahan yang banyak dari tali pusat bayi. Secara automatiknya, keperluan oksigen bayi menjadi kurang dan ia mungkin menjadi punca bayi lemas.

Di samping itu, melahirkan normal dalam air boleh mengundang masalah aspirasi mekonium, di mana bayi menghirup mekonium (najis pertama bayi) yang ada pada air ketuban semasa proses bersalin sehingga menyebabkan masalah pada sistem pernafasan bayi.

3. Kurangnya Kemahiran Pakar

Seperti yang kita sedia maklum, proses ini memerlukan persediaan rapi dan teliti bagi memastikan keselamatan ibu dan bayi berada pada tahap yang optimum. Oleh kerana ianya masih baru di Malaysia, garis panduannya masih belum ditetapkan (setakat 2017) dan tiada pantauan yang dapat dijalankan selari dengannya.

4. Masih Dalam Peringkat Kajian Dan Tiada Bukti Kukuh

Sehingga kini, kajian perubatan yang menyokong kelahiran dalam air masih lagi kurang dan ia memerlukan lebih banyak bukti sebelum diperkenalkan kepada orang ramai.

Jelas KKM, alasan mereka mengeluarkan larangan untuk ibu melahirkan normal dalam air adalah kerana masih tiada bukti yang mengatakan kaedah kelahiran seperti itu dapat memberi manfaat kepada para ibu.

melahirkan normal dalam air

Foto Kredit: hospitalceram.com

Fahami Dan Imbangi Risiko Sebaiknya

Anggaran kos bersalin dalam air adalah sekitar RM6,000. Pastikan anda mengetahui prosedurnya dan memastikan sesebuah hospital itu mempunyai kemampuan untuk merawat sebarang kecemasan yang mungkin berlaku kepada ibu atau bayi sama ada ketika atau selepas proses kelahiran.