Ibu mengandung lazimnya dikaitkan dengan pelbagai kepayahan dan ujian yang datang bersama kandungan yang semakin membesar. Contohnya, cepat letih, muntah-muntah, susah tidur malam, dan banyak pula makanan yang terpaksa dielakkan demi kesihatan bayi. Di sebalik itu, mungkin ramai yang lupa beberapa manfaat dan kelebihan ibu mengandung yang sebenarnya.

6 Kelebihan Ibu Mengandung Yang Patut Dinikmati Sepenuhnya

Mari kita lihat antara kelebihan ibu mengandung yang boleh dimanfaatkan sebaiknya.

1. Keistimewaan Di Tempat Awam

Secara umumya, semua orang akan berlembut hati apabila ternampak ibu mengandung. Bukanlah kita mahu menagih simpati, tetapi inilah antara kelebihan ibu mengandung yang paling seronok.

Kita akan dapat tempat duduk keutamaan dalam pengangkutan awam, tak perlu beratur panjang, dan hampir semua orang mahu berbuat baik dengan kita!

2. Banyak Barang Percuma Untuk Anda

Tahukah anda, ada banyak sampel dan produk percuma yang layak untuk anda dapat sebaik saja anda disahkan mengandung. Pampers, susu, suplemen kesihatan, dan banyak lagi. Anda boleh mendapatkannya secara online atau dengan mendaftarkan nama dengan penjual barangan tersebut di pasaraya. Memang berbaloi!

Untuk mendapatkan banyak ‘alert’ tentang free gift ini, bolehlah mengikuti pelbagai jenis group ibu mengandung di Facebook atau Whatsapp.

3.  Kurang Risau Tentang Saiz Seluar

Jika sebelum ini kita berasa kurang yakin dengan imej dan penampilan diri, selalunya kita akan berasa lebih yakin sepanjang 9 bulan kehamilan.

Kita juga kurang memikirkan tentang saiz seluar yang semakin ketat atau berat badan yang bertambah. Semua ini berlaku adalah kerana alasan yang paling baik. Selain itu, payudara anda akan kelihatan lebih montok dan gebu. Rasa lebih seksi, bukan?

4. Bebas Haid

Selama 9 bulan, anda tak perlu risau lagi tentang kedatangan haid yang mungkin agak leceh dan menyakitkan. Sesetengah wanita turut mengakui bahawa mereka tidak lagi mengalami masalah keputihan ketika hamil.

Jika anda menyusu badan selepas bersalin, anda mungkin akan mengalami ketiadaan haid buat beberapa bulan lagi.

5. Wajah Lebih Berseri

Sungguhpun pada trimester pertama ada segelintir wanita yang akan mengalami masalah kulit wajah, kebanyakan daripada masalah ini akan dapat diatasi pada bulan-bulan berikutnya. Malah, kulit wajah anda mungkin akan kelihatan paling cantik dan berseri-seri walaupun tanpa mengenakan sebarang produk kesihatan.

Pakar berpendapat bahawa kombinasi hormon dan pertambahan isipadu darah pada tubuh sebanyak 40% berbanding biasa menyumbang kepada kelebihan ibu mengandung yang satu ini.

6. Sensasi Tendangan Bayi

Walau apa pun kelebihan ibu mengandung, tentunya inilah yang paling seronok dan mengujakan. Setiap kali anda merasakan tendangan bayi, senyuman anda tentu terukir. Dalam diam, hubungan anda dan bayi sudahpun terbentuk walaupun masih belum menatap wajahnya.

Oleh itu, sentiasa doakan yang baik-baik untuk bayi, bercakap dengannya, dan usap perut anda. Menurut sumber, janin sudahpun dapat mendengar, mengesan cahaya, dan merasakan getaran daripada usapan penuh cinta anda!

kelebihan ibu mengandung

Nikmati Kehamilan Anda

Banyak juga kelebihan ibu mengandung yang unik dan tidak mungkin dapat dirasai pada orang lain, bukan?

Maka, jangan lupa manfaatkannya dan teruskan menikmati saat indah anda bersama bayi dalam kandungan. Anda pasti akan merinduinya satu hari nanti.