Saban tahun, ada sahaja kes kecederaan kanak-kanak yang direkodkan disebabkan oleh alat mainan. Mainan anak berbahaya apabila ianya dipilih dengan salah. Yang lebih mengejutkan lagi, sesetengah kes kecederaan ini melibatkan alat mainan bayi yang sering dipandang remeh oleh ibu bapa.

Sekiranya para ibu bapa lebih memandang serius tentang perkara ini, risiko untuk berlakunya kemalangan sedemikian boleh dikurangkan. Guli, contohnya, adalah salah satu mainan yang sangat berbahaya untuk anak kecil kerana ia boleh menyebabkan bayi tercekik apabila ia dimasukkan ke dalam mulut.

mainan-bayi-berbahaya

Alat permainan sememangnya penting untuk merangsang tumbesaran anak anda, tapi dengan syarat anda memilih alat mainan bayi yang betul dan tidak berbahaya. Di bawah ini adalah 7 tips yang boleh anda ikuti sewaktu memilih mainan bagi bayi kesayangan anda:

1. Mainan bayi dengan bahagian kecil yang boleh ditanggalkan

Untuk bayi bawah 3 tahun, mainan sebegini boleh membuatkan bayi tercekik kerana mereka cenderung untuk memasukkan alat mainan ke dalam mulut mereka. Anda boleh menguji saiz mainan tersebut dengan menggunakan penguji bahagian kecil (sejenis tiub kecil yang biasanya boleh didapati di kedai permainan bayi). Sekiranya bahagian mainan itu muat di dalam penguji tersebut, ianya dianggap berbahaya untuk bayi.

2. Mainan dengan sisi dan bucu yang tajam

Anak anda sangat berisiko untuk mencederakan diri mereka ataupun orang lain sewaktu bermain dengan mainan yang tajam ini.

3. Mainan yang mengeluarkan bunyi yang terlalu kuat

Sekiranya anak anda bermain dengan pistol mainan ataupun mainan lain yang mengeluarkan bunyi yang sangat kuat, ianya boleh merosakkan pendengaran si comel anda.

4. Mainan tembak seperti dart dan lain-lain

Mainan jenis ini boleh mengakibatkan kecederaan terutamanya di bahagian mata jika ianya tidak dimainkan dengan betul. Makin laju mainan ini bergerak, semakin bahaya dan tinggi risikonya!

5. Mainan dengan tali atau getah yang lebih panjang dari 7 inci

Mainan bertali yang panjang mempunyai risiko untuk membuatkan bayi terlilit dan tercekik diri sendiri.

6. Mainan yang dicat dengan cat berasaskan plumbum

Sekiranya bayi terdedah kepada mainan yang mempunyai unsur plumbum, mereka boleh mengalami keracunan plumbum. Ini adalah sangat serius kerana ianya boleh mengakibatkan kerosakan teruk pada otak, buah pinggang dan sistem saraf bayi.

7. Pistol mainan yang mengeluarkan percikan api (cap gun)

Sesetengah mainan ini mempunyai bahagian yang boleh dinyalakan walau dengan geseran yang sedikit. Jauhi mainan jenis ini daripada anak anda kerana ia boleh mengakibatkan kecederaan kulit melecur yang teruk.