“Ish, dah makin berat ke anak aku ni? Sakit badan pula aku rasa bila pakai alat penggendong canggih-canggih ni. Ingatkan dah beli mahal-mahal mestilah selesa.”

Kini, terdapat pelbagai jenis alat penggendong canggih di pasaran. Antara yang popular di Malaysia adalah ‘Soft Structured Carrier’ (SSC) oleh jenama Snuggbaby, Pognae, Ergo, Boba, ‘Baby Wrap’ oleh jenama Moby, ‘Ring Sling’ oleh jenama Jumpsac, dan banyak lagi pengeluar-pengeluar tempatan yang dibuat khusus secara ‘handmade’ dan tak kurang berkualiti.

Secara tidak langsung, cara gendong bayi dengan menggunakan alatan ini dapat memudahkan ibu bapa serta memberi keselesaan kepada bayi, terutamanya bagi keluarga yang sering ‘travel’.

Apabila pertama kali menggunakannya, mungkin ramai yang berasa kekok dan kurang selesa dengan cara gendong bayi yang ‘baru’ ini. Namun, lama-kelamaan, anda dan juga bayi seharusnya dapat menyesuaikan diri dan berasa selesa untuk menggunakannya pada bila-bila masa.

Tetapi, perasankah anda bahawa terdapat beberapa kesilapan ‘babywearing’ yang kurang diberi perhatian. Adakah anda melakukan salah satu daripadanya?

cara gendong bayi

Foto Kredit: parentsavvy.com

 

7 Kesilapan ‘Babywearing’ Yang Biasa Anda Lakukan Tanpa Disedari

Berikut adalah beberapa perkara yang kurang ditekankan dalam amalan ‘babywearing’.

1. Saiz Yang Salah

Oleh kerana terlalu banyak jenis alat penggendong yang dijual, lebih-lebih lagi secara ‘online’, ramai ibu bapa yang berasa ghairah untuk memilikinya tanpa mengikut keperluan anak mereka. Hal ini sebenarnya patut menjadi perkara utama dalam memilih jenis ‘baby carrier’ yang paling sesuai untuk anda berdua.

Bagi bayi yang berumur 1 tahun ke atas, mungkin tidak begitu bermasalah kerana mereka sudah agak besar dan mudah beradaptasi. Saiznya juga lebih fleksibel untuk bayi sebesar ini.

Namun, bayi yang kecil amat sensitif dan mungkin tidak dapat bertahan dalam ‘baby carrier’ yang tidak selesa buat mereka. Sebab itulah anda digalakkan untuk mencubanya terlebih dahulu sebelum membuat embelian.

Jika tidak, ada antara mereka yang cepat meragam dan tidak suka apabila diletak dalam alat penggendong tersebut. Membazirlah!

Foto Kredit: which.co.uk

 

2. Memakai Terlalu Longgar / Ketat

Cara pemakaian ini bukan saja boleh menyebabkan anda mengalami kesakitan badan, tetapi ia juga mengundang bahaya kepada anak kecil.

Jika terlalu ketat, anak akan berasa sesak nafas. Sebaliknya, jika terlalu longgar pula, alat tersebut berisiko untuk terlurut dan menybabkan anak anda terjatuh.

Cara untuk memastikan pemakaian yang betul adalah dengan menekan lembut pada bahagian belakang anak anda. Jika bayi bergerak ke arah anda, ini bermakna ia masih longgar. Satu lagi cara gendong bayi yang betul adalah anda sendiri berasa selesa apabila memakainya.

Foto Kredit: express.co.uk

 

3. Menganggap Anda Boleh ‘Hands-Free’

Walaupun bayi anda kini telah didukung oleh alat penggendong, jangan sesekali menganggap anda boleh melakukan apa saja menggunakan kedua-dua belah tangan anda tanpa memikirkan keselamatan bayi.

‘Multitasking’ memang efisyen, namun anda perlu sentiasa dalam keadaan bersedia untuk melindungi bayi jika terdapat sebarang kejadian yang tidak diingini. Memasak contohnya, amatlah tidak digalakkan kerana ia berisiko mendedahkan bayi kepada api dan percikan minyak panas. Ingat ya!

 

4. Membiarkan Bayi Kepanasan

Sesetengah fabrik, terutamanya yang didatangkan dari luar negara mungkin sedikit tebal kerana mereka mempunyai iklim yang berbeza daripada negara kita. Fabrik yang tebal ini juga mungkin dipilih atas faktor kekukuhan dan tahan lasak.

Namun begitu, anda perlulah menyesuaikannya dengan pakaian yang dipakai oleh anak anda. Sentiasalah memeriksa jika bayi nampak berpeluh-peluh dan tidak selesa, tanggalkanlah pakaian yang tidak perlu seperti topi, sarung tangan, stokin, dan sebagainya.

Jika anda berjalan buat masa yang lama, tanggalkan sebentar alat penggendong dan berikan aliran udara segar untuk anak anda bernafas dari semasa ke semasa.

Foto Kredit: nurtureandbliss.com

 

5. Terlalu Awal Menggunakan Alat Penggendong ‘Front-Facing’

Tahukah anda, jenis ‘baby carrier’ seperti ini sebenarnya menimbulkan pelbagai kontroversi atas alasan keselamatan dan keselesaan bayi.

Selain itu, kajian menunjukkan bahawa ia kurang sesuai digunakan oleh bayi yang kecil, iaitu berusia bawah 6 bulan kerana kurangnya sokongan pada bahagian leher bayi yang masih lembut.

Bukan itu saja, ia juga menyukarkan anda untuk melihat bayi jika mereka memberi sebarang isyarat ketidakselesaan selain menyebabkan ‘overstimulation’ kepada bayi.

Foto Kredit: 123rf.com

 

6. Posisi Kaki Yang Terjuntai

Apabila memilih ‘baby carrier’, seeloknya pilihlah jenis yang dapat ‘merehatkan’ kaki bayi dengan sesuai. Jika dibiarkan posisi kaki dalam keadaan ‘terjuntai’ ini, ia boleh membawa risiko ‘hip dsyplasia’, seperti yang dinyatakan oleh kajian pakar.

Posisi sebaiknya adalah dengan memastikan peha anak dalam keadaan terbengkok (seperti dalam rajah di bawah), dan bukannya lurus ke bawah.

Foto Kredit: hipdysplasia.org

 

7. Tetap Pada Satu Kedudukan Saja

Jika anda menggunakan ‘baby carrier’ jenis ‘ring sling’ atau ‘baby wrap’, terdapat kecenderungan untuk anda menggunakannya pada satu belah kedudukan saja, iaitu kiri atau kanan.

Selain mengelakkan ‘flat head syndrome’, anda juga perlu menukar posisi apabila bayi semakin besar atau semakin bertambah keupayaan pergerakannya.

Foto Kredit: shutterstock.com

 

Jom Amalkan Cara Gendong Bayi Yang Betul!

Penggunaan alatan canggih untuk menggendong bayi ini sepatutnya membantu ibu bapa dalam memudahkan urusan harian. Maka, tidak salah jika kita memanfaatkannya. Tetapi, ibu bapa perlulah peka dan menitikberatkan keselamatan anak sebagai keutamaan.

Jadi, pastikan anda mengamalkan cara gendong bayi yang betul demi keselamatan bayi serta keselesaan anda berdua.