Fibroid adalah ketumbuhan biasa (bukan kanser) yang terhasil daripada otot dan tisu-tisu fiber. Ia boleh dijumpai di dalam uterus/rahim wanita.

Bagi sesetengah wanita, fibroid tidak memberi impak terhadap kandungan. Namun, bagi sesetengah yang lain, fibroid ketika hamil boleh menyebabkan komplikasi major.

5 Perkara Anda Mesti Tahu Tentang Fibroid Ketika Hamil

Berikut adalah 5 perkara yang mesti anda tahu tentang fibroid ketika hamil.

1. Punca Fibroid Ketika Hamil

Fibroid sering berlaku kepada wanita antara usia 30an hingga 40an. Menurut sumber, dianggarkan hampir 50%-80% wanita mengalaminya. Fibroid lazimnya berlaku kepada wanita pada usia subur. Maka, tidak hairanlah fibroid boleh ditemui dalam kalangan wanita yang hamil.

Selalunya, fibroid berlaku sebelum seseorang wanita disahkan hamil. Namun, mereka hanya mengetahuinya apabila melakukan imbasan ultrasound terhadap kandungan.

2. Tanda-tanda Fibroid

Dalam sesetengah kes, seorang wanita tidak mengalami sebarang simptom yang luarbiasa.

Namun, sesetengah wanita akan mengalami simptom seperti berikut:

  • Sakit bahagian abdomen
  • Rasa kerap ingin membuang air kecil
  • Pendarahan vagina
  • Tekanan pada bahagian pelvik
  • Sembelit

3. Bahayakah Fibroid Semasa Hamil?

Ia bergantung kepada saiz dan sama ada ia mengganggu kehamilan. Oleh sebab itu, wanita hamil yang menghidap fibroid memerlukan pengawasan berkala untuk memastikan pembesaran janin berlaku dengan baik.

Mengikut kajian melalui sebuah akhbar tempatan, imbasan ultrasound menunjukkan lebih kurang 70% wanita hamil tidak mengalami pembesaran fibroid ketika hamil. 30% wanita pula menghadapi pembesaran fibroid dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan.

4. Komplikasi Yang Boleh Berlaku Semasa Hamil

Sekiranya fibroid terletak bersebelahan dengan plasenta, ia mungkin boleh menjejaskan pengaliran darah kepada fetus, seperti yang dijelaskan oleh pakar. Selain itu, fibroid yang berkembang dari segi saiz meningkatkan risiko kelahiran bayi pramatang. Kehamilan itu juga berisiko untuk mengalami keguguran.

Sungguhpun kebanyakan kes fibroid tidak mengganggu kelahiran, namun ada beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan. Antaranya, ia boleh mengganggu laluan kelahiran serta posisi bayi dalam kandungan. Sekiranya fibroid menutup laluan kelahiran, atau bayi berada pada kedudukan songsang / melintang, maka pembedahan C-section perlu dilakukan.

Fibroid ketika hamil boleh menjadi punca rahim bermasalah untuk mengecut. Ia adalah salah satu penyebab utama tumpahan darah selepas bersalin. Untuk mengelakkan ianya berlaku, suntikan ubat akan dipreskripsikan untuk memastikan rahim tersebut dapat mengecut.

5. Rawatan Fibroid Ketika Hamil

Sekiranya fibroid tidak serius dan tidak mengganggu kesihatan ibu hamil, doktor hanya akan memantau kehamilan tersebut. Sekiranya perlu, doktor akan mempreskripsikan ubat tahan sakit.

Pembedahan mengeluarkan fibroid tidak akan dilakukan semasa hamil. Namun, jika ianya membahayakan kesihatan ibu hamil, ia akan dilakukan selepas melahirkan bayi.

fibroid ketika hamil

Foto Kredit: emedmd.com

Jaga Pemakanan Semasa Hamil

Mungkin ada beberapa petua yang diamalkan oleh orang dulu-dulu atau yang disebarkan melalui internet untuk mengecutkan fibroid. Namun, terdapat sumber menunjukkan bahawa setakat ini masih belum ada ubat yang terbukti keberkesanannya.

Cara yang terbaik untuk mengawal pembesarannya adalah dengan mengambil pemakanan seimbang dan mengamalkan gaya hidup sihat. Selalunya, saiz fibroid akan terus dipantau oleh doktor selepas tempoh berpantang, di mana aras hormon kembali normal.