“Stresnya tengok parut-parut ‘stretch mark’ ni. Dulu masa mengandung pernah juga cuba gunakan krim, tapi semuanya tak serasi dan membuat kita rasa tak selesa. Apa cara menghilangkan stretch mark dengan lebih berkesan selepas bersalin ini ya?”

Fasa kehamilan bukan saja akan memberi perubahan kepada pertambahan bilangan ahli keluarga, tetapi ia juga menyebabkan pelbagai perubahan fizikal dan mental kepada seorang wanita yang kini bergelar ibu.

Selepas bayi dilahirkan, kita boleh menarik nafas lega dan syukur apabila bayi yang dilahirkan sihat dan comel. Namun, jauh di sudut hati tentu tersimpan sedikit rasa risau dengan perubahan fizikal yang tidak lagi seperti dahulu.

Selain pertambahan berat badan, satu lagi masalah yang sering menjadi isu adalah parut regangan atau ‘stretch mark’ ketika bersalin yang selalunya tertumpu di kawasan sekitar perut, punggung, peha, dan payudara.

Foto Kredit: mirror.co.uk

8 Cara Menghilangkan Stretch Mark Dengan Pantas Dan Berkesan

Berikut adalah beberapa tips dan cara menghilangkan stretch mark yang boleh anda lakukan sendiri di rumah menggunakan bahan semulajadi yang selamat.

1. Minyak Zaitun

Seelok-eloknya, gunakan minyak zaitun asli yang diperkaya dengan khasiat vitamin A, D, dan E di dalamnya. Lumurkan sedikit pada tangan dan urutkan pada kawasan yang mempunyai kesan stretch mark.

Lebih elok lagi jika diamalkan sebelum tidur agar kesemua vitamin dan khasiatnya dapat diserap pada waktu malam.

Foto Kredit: mentalfloss.com

2. Minyak Kelapa Dara

Selain minyak zaitun, anda juga boleh menggunakan minyak kelapa dara atau minyak vitamin E yang bersesuaian dengan anda.

Bukan itu saja, anda juga boleh menggunakan pelbagai minyak aromaterapi seperti lavender, sitrus, dan eucalyptus yang mempunyai khasiat tersendiri dalam membantu memulihkan kulit.

Foto Kredit: products.mercola.com

3. Aloe Vera

Aloe vera mempunyai ciri khusus untuk merawat dan memperbaiki kulit kita. Sebab itulah apabila seseorang mengalami luka atau kegatalan, penggunaan aloe vera amat disyorkan.

Sapukan aloe vera pada bahagian yang terdapat stretch mark. Biarkan selama 20 minit sebelum membilasnya. Lebih elok jika anda mendapatkan gel aloe vera asli daripada daun lidah buaya kerana ia tidak mengandungi sebarang bahan kimia. Namun, pastikan anda tahu cara mendapatkan isi gelnya.

cara menghilangkan stretch mark

Foto Kredit: stylecraze.com

4. Madu

Madu mengandungi pelbagai ciri antiseptik yang dapat membantu memulihkan kulit daripada parut stretch mark. Maka, tidak hairanlah ia banyak digunakan dalam masker dan produk-produk kosmetik.

Jika anda mempunyai madu asli di rumah, anda boleh menyapukannya secara terus kepada parut stretch mark. Sambil menunggu ianya kering, lakukan urutan lembut pada bahagian tubuh tersebut. Bilas seperti biasa dengan air suam dan ulangi langkah ini setiap hari.

Foto Kredit: food.ndtv.com

5. Putih Telur

Putih telur kaya dengan protein yang membantu merawat komposisi kulit dan kandungan lainnya turut membantu meremajakan serta mencerahkan kesan parut pada kulit.

Pukul sebiji telur putih dengan garfu dan gunakan berus lembut untuk menyapu telur ini pada bahagian stretch mark. Seperti biasa, biarkan sapuan tersebut mengering dan sapu lagi beberapa lapisan sehingga habis sebelum membilasnya.

Foto Kredit: babble.com

6. Gula

Gula boleh digunakan sebagai cara menghilangkan stretch mark dengan menjadikannya bahan asas dalam skrub. Ini kerana, gula membantu membuang kulit-kulit mati pada kulit. Jenis gula yang boleh dipakai adalah gula putih, gula merah, atau gula organik.

Skrub semulajadi ini boleh dibuat sendiri di rumah dengan mencampurkan gula dengan sedikit minyak zaitun sehingga menjadi pes yang kental dan bertekstur. Kalau tak ada minyak zaitun, anda boleh mencampurkan gula dengan bahan lain seperti garam atau serbuk kopi dengan cara yang sama.

Foto Kredit: olwomen.com

7. Lemon Dan Timun

Vitamin C yang terkandung dalam lemon dapat membantu memperbaiki kulit manakala timun pula memiliki ciri pelembap yang amat baik untuk kulit.

Anda boleh membuat pes daripada jus lemon dan timun yang dikisar bersama. Sapukan pada bahagian yang berparut dan biarkan sehingga ia kering. Selepas itu, bilas seperti biasa.

Tapi, jika kulit anda yang berparut tadi berada dalam keadaan kering, jangan gunakan lemon sekiranya ia menyebabkan iritasi. Cuba dalam kuantiti kecil terlebih dahulu.

Foto Kredit: glowbio.com

8. Kentang

Menurut sumber, kentang mengandungi phytochemicals, polyphenols, dan carotenoids yang membantu memperbaiki tekstur kulit.

Caranya, potongkan sebiji kentang kepada 2 dan sapukan bahagian isi kentang kepada bahagian tubuh yang terdapat parut stretch mark. Biarkan seketika sehingga jus kentang meresap sepenuhnya ke dalam tubuh sebelum dibilas dengan air suam. Amalkan sekali atau 2 kali sehari untuk mendapatkan kesan yang memberangsangkan.

Lakukan Seawal Mungkin

Proses ini mungkin mengambil masa 3 bulan hingga 6 bulan untuk menampakkan kesannya. Oleh itu, pastikan anda konsisten dan tidak cepat berputus asa ya.

Jika anda sedang hamil, langkah ini juga boleh dilakukan semasa hamil untuk melembapkan kulit serta mengurangi kegatalan yang dirasai.