“Jangan!” atau “Tak Boleh!” tidak cukup untuk mengawal anak kita yang bermacam ragam dan karenah. Mendisiplinkan anak adalah salah satu cabaran yang paling besar dalam mendidik mereka. Kadang-kadang ia dianggap sebagai pertarungan yang tiada kesudahan antara kita dan anak-anak. Apakah maksud disiplin kepada kanak-kanak?

Sesetengah orang menganggap cara mendisplinkan anak adalah dengan kaedah menghukum atau memukul mereka. Namun cara ini bukanlah yang terbaik untuk si kecil, malah sesetengah kajian menunjukkan ia boleh mengundang kesan negatif dalam jangka masa panjang.

Menurut pakar penjagaan kanak-kanak, cara mendisiplinkan anak bermaksud meletakkan peraturan atau had bagi mengelakkan mereka bertindak agresif, merbahaya atau tidak sopan. Disiplin juga perlu dipraktikkan jika anak sudah melanggar peraturan yang kita tetapkan.

7 Cara Mendisiplinkan Anak Sejak Kecil. Tanpa Jeritan!

Ada beberapa cara mendisiplinkan anak tanpa jeritan yang boleh kita praktikkan.

1. Ketahui Punca Masalah Anak

Kelakuan anak-anak memang sangat mencabar kesabaran kita. Contohnya, mereka suka bermain dengan bedak sehingga bercapuk satu badan dan lantai. Walaupun kita sudah mencegah berkali-kali, mereka buat tidak tahu sahaja. Jadi, kita perlu ambil inisiatif untuk menjauhkan benda-benda yang mereka suka capai.

Misalnya, letakkan di tempat yang lebih tinggi atau tertutup. Lebih baik jauhkan punca daripada bergaduh dengan anak. Jika anak kita suka buat perangai ketika lapar, bawakan bekal bersama apabila keluar. Jika anak kita suka mencapai barang-barang di pasaraya, bawakan mainan supaya mereka leka dengan mainan yang diberi.

2. Bercakap Pada ‘Eye Level’

Memang susah untuk bawa bertenang bila anak sudah sepahkan buku dari almari atau pecahkan pasu bunga kegemaran kita. Akan tetapi, jika kita terus mengamuk dan meninggikan suara, anak kita tidak akan mendapat mesej yang kita mahu sampaikan dan keadaan akan menjadi bertambah buruk.

Apabila kita marah, anak akan lebih fokus kepada emosi negatif yang kita tunjukkan berbanding apa yang kita cakapkan. Jika anda dalam situasi ini, tarik nafas dalam-dalam, bawa bertenang, dekatkan diri sehingga kita bertentang mata dengan anak (eye level), dan nasihatkan si anak dengan serius dan tegas.

 3. Gunakan Ayat Ringkas

Walaupun anak masih kecil, ada ibu bapa yang cenderung untuk memberitahu apa kesalahan yang anak kita buat secara terperinci, apa kesannya, dan apa yang dia tak akan dapat selepas dia melanggar peraturan tersebut. Tak usah terangkan panjang lebar kepada anak-anak, lebih-lebih lagi jika mereka sedang menangis.

Sama seperti emosi negatif, terlalu banyak berleter juga tidak berkesan untuk anak-anak. Sebaliknya, gunakan perkataan yang ringkas dan mudah difahami. Sampaikan mesej anda dengan ekspresi wajah dan nada yang berkesan supaya mereka faham. Gunakan cara penyampaian yang paling sesuai mengikut usia anak anda.

 4. ‘Acknowledge’ Perasaan Mereka

Walaupun anak kita masih kecil, mereka mahu pandangan mereka diterima, dan perasaan mereka diambil berat. Oleh itu, kita perlu bertindak dengan mengambil kira perasaan mereka. Contohnya, jika anak kita tidak mahu makan sayur, pujuk mereka dengan cara yang baik.

“Ibu tahu awak tak suka makan sayur, tapi kena makan juga supaya badan sihat.” Apabila kita ‘acknowledge’ (mengakui) perasaan mereka, maknanya kita mendengar dan memahami mereka. Lama-kelamaan, mereka akan faham bahawa kita bukannya mahu membantah setiap perlakuan mereka, sebaliknya kita cuma mahu yang terbaik buat mereka.

5. Alih Perhatian Anak

Geram juga rasanya bila anak kita lompat dari sofa berbelas-belas kali. Walaupun dimarahi, mereka tetap tidak serik. Alihkan perhatian anak dengan mengajak mereka buat perkara yang lebih produktif.

Menurut pakar psikologi kanak-kanak, si kecil perlu berada dalam persekitaran yang positif untuk mendorong mereka berkelakuan baik. Jika mereka mula buat perangai yang kita tidak sukai, jangan terus hukum mereka. Ajak mereka buat aktiviti yang lebih menarik dan pindahkan mereka ke bilik lain untuk buat aktiviti tersebut.

6. Beri Peluang Anak Buat Pilihan

Perkara-perkara seharian seperti makan, memberus gigi memang perlu dipatuhi. Tetapi banyak perkara lain yang boleh diberi kelonggaran di mana kita tidak perlu terlalu tegas.

Biar anak buat keputusan sekali-sekala. Tidak mengapa kalau anak mahu pakai baju kegemarannya beberapa kali seminggu. Tiada salahnya jika mereka inginkan makanan kegemaran mereka sekali sehari dalam kuantiti yang sederhana. Bila anak dapat apa yang dia mahu, kita boleh perlahan-lahan pujuk anak untuk tukar cita rasa.

 7. Jadilah ‘Role Model’ Terbaik

Ibu bapa adalah orang yang paling awal anak-anak kenal. Sebahagian daripada kita akan menjadi sebahagian kepada anak terutamanya personaliti. Kitalah yang bertanggungjawab mencorak keperibadian anak. Minda anak-anak ibarat span. Mereka ingat perkara-perkara yang selalu orang di sekeliling ulang.

Perangai, tabiat buruk dan tingkah laku kita lama-kelamaan akan menjadi ikutan anak dan seterusnya membentuk perwatakan anak. Jika kita sendiri tak dapat mengawal diri ketika marah, bagaimana pula anak mahu mengawal diri dan ‘behave’ setiap masa?

cara mendisiplinkan anak

Tak Perlu Garang, Tapi Tegas!

Tetapi kita bukanlah sempurna. Tidak mengapa jika kadang-kadang kita marah. Yang penting, kita cuba mengubah diri dan memancarkan lebih emosi positif sebagai cara mendisiplinkan anak.

Dengan perubahan ini, anak-anak akan lebih gembira untuk menurut kata. Malah, ketegasan anda akan nampak lebih menggerunkan walaupun tanpa mengucapkan ayat yang panjang lebar!