Zaman kanak-kanak adalah waktu yang paling dirindui. Waktu inilah mereka berpeluang untuk meneroka dunia baru dengan bermain dan mengenali perkara-perkara baru di sekeliling. Tahukah anda, ada cara mendidik anak yang terbukti dapat menjadikan mereka lebih gembira?

Menurut ahli psikologi dan saintis, 9 perkara ini akan sebenarnya ‘simple’, tetapi memberi kesan luarbiasa kepada anak kita hingga mereka cenderung menjadi seorang dewasa yang gembira dan positif.

9 Perkara Yang Akan Buat Anak Kita Lebih Gembira

1. Waktu Bermain Yang Cukup

Selepas anak siapkan kerja rumah dan hadiri ko-kurikulumnya, berikan dia peluang untuk bermain sepuas-puasnya dengan kawan-kawannya. Suruh dia keluar bermain. Jangan asyik duduk terperap di rumah sahaja.

Kajian mendapati bahawa apabila kanak-kanak bergaul sesama sendiri,tanpa disedari mereka dapat mempelajari dengan lebih lagi berbanding bergaul dengan dewasa. Mereka dapat belajar berunding, berkongsi, menerima kekurangan yang lain, saling menolong dan menghargai nilai persahabatan.

2. Hubungan Ibu Ayah Yang Mesra

Minda kanak-kanak sangat mudah menyerap apa yang dilihatnya sehingga memberi kesan kepada emosinya. Kita sebagai dewasa elakkan bertengkar di hadapan mereka. Si anak akan serta merta risaukan kita tanpa sebab.

Malah, ada sebuah penelitian yang mendapati bahawa perkembangan otak bayi boleh terjejas apabila ibu bapa kerap bertengkar di hadapan mereka.

3. Terima Mereka Seadanya

Tiada siapa yang sempurna. Semua orang mempunyai kebolehan dan kemahiran yang berbeza. Kecemerlangan seperti dari segi akademik atau sukan bukanlah ukuran untuk kejayaan.

Walaupun si anak tidak dapat mencapai keputusan yang cemerlang seperti yang kita harapkan, jangan tunjuk yang kita kecewa padanya. Bila kita ungkapkan kekecewaan pada anak dan tetapkan sasaran pada anak, dia akan lebih fokus untuk menggembirakan kita dan apa yang dia pelajari selama ini bagaikan tiada nilai padanya.

4. Difahami Sebelum Dimarahi

Kita sebagai dewasa juga ada yang tidak arif dalam menangani kemarahan dan kekecewaan. Apatah lagi kanak-kanak. Mereka mudah marah, kecewa, dan cemburu sampai boleh mengamuk. Rata-rata ibu bapa gunakan cara paling biasa iaitu dengan hukuman bila anak buat perangai. Seperti saranan Dr. John Gottman, tukar hukuman dengan cara yang lebih praktikal iaitu cuba fahami dan ajar anak tangani perasaan itu dengan bijak.

Bila anak marah, biarkan dia bertenang dahulu dan ajaknya untuk refleksi diri. Hormati perasaannya dan capai satu solusi untuk tangani emosi tersebut. Dakap anak dengan erat dan katakan tidak mengapa untuk marah sekali sekala asalkan dia dapat belajar tindakan dan kesan perbuatannya.

5. Hargai Usaha Mereka

Anak akan dapati bahawa usaha adalah penting untuk membaiki kemahiran yang ada. Kita sebagai ibu bapa perlu mengenalpasti dan hargai anak atas kesungguhan yang ditunjukkan si anak. Jangan hanya ungkapkan pujian apabila anak sudah mencapai kecemerlangan semata-mata.

Katakan yang kita bangga dengannya walaupun dalam pencapaian kecil seperti sudah menolong kita di dapur atau berjaya melipat semua bajunya sendiri. Kata-kata semangat ini dapat memberi harapan pada anak untuk cuba dengan lebih baik lagi di masa hadapan.

6. Adakan Rutin Aktiviti Keluarga

Tradisi keluarga adalah teknik mudah untuk mengeratkan hubungan antara ahli keluarga. Rancang satu aktiviti istimewa dalam seminggu atau sebulan seperti hari ‘spring cleaning’, ‘movie night’, ‘talent show’, atau hari membuat kek.

Apabila aktiviti ini dilakukan bersama anak, dia akan menjadi lebih gembira. Anak akan rasa kepentingannnya di rumah itu bila dia turut serta.

7. Peluang Untuk Mencuba

Zaman kanak-kanaklah waktu yang terbaik untuk anak pelajari dari dunia sekitarnya. Mereka akan mengharungi pelbagai pengalaman yang mendewasakan diri. Kita sebagai ibu bapa tidak perlu terlalu risaukan anak.

Segala kesilapan yang dilakukan anak hasil dari perbuatannya sendiri dapat mengajarnya supaya lebih berhati-hati di masa hadapan. Cuba berikan anak ruang untuk melakukan kesalahan dan pelajari darinya.

8. Zon Peribadi

Sama ada kita mempunyai rumah yang kecil atau besar, itu bukanlah alasan untuk tidak memberi ruang peribadi kepada setiap orang anak. ‘Personal space’ atau ruang peribadi ini boleh berbentuk sebuah bilik, sebuah katil, ataupun sebuah ceruk di hujung bilik.

Pada masa-masa tertentu, si anak perlu bersendiri. Ia bukan saja penting untuk perkembangan mental, tetapi ia juga membantu melatih anak menguruskan diri dengan lebih teratur.

9. Memori Indah

Kajian mendapati bahawa individu yang punya zaman kanak-kanak yang indah akhirnya membesar menjadi dewasa yang penuh dengan nilai-nilai murni. Individu ini juga lebih cenderung untuk melakukan kebaikan bila teringatkan kisah silamnya yang bahagia. Jadi, persiapkan anak dengan memori yang indah.

Jangan ingat anak takkan ingat kalau kita membawa mereka pergi bercuti kerana mereka masih kecil. Sebenarnya, kita juga akan menimba pelbagai pengalaman baru melalui percutian bersama anak – walaupun hanya ke tempat berdekatan.

cara mendidik anak

Foto Kredit: pinterest.com

‘Enjoy’ Masa Bersama Anak!

Ibu bapa adalah orang yang terdekat yang anak dapat perhati dan pelajari. Jika kita sendiri selalu muka masam dan asyik marah-marah, anak kita juga akan begitu. Pembentukan personaliti anak tidak hanya tertumpu pada cara mendidik anak, tetapi juga bergantung kepada karakter ibu bapa.

Pamerkan kegembiraan dan kasih sayang pada anak untuk anak bawa hingga dewasa. Anak juga akan membesar menjadi individu yang positif seperti kita.