Sungguhpun ibu yang banyak menguruskan bayi ketika mereka baru lahir, sampai satu masa bayi akan bergerak aktif dan mula untuk mengukuhkan hubungan dengan bapa mereka. Seperti yang dijelaskan oleh Dr Fran Walfish, seorang bapa memainkan peranan yang amat penting dalam perkembangan emosi dan fizikal seorang anak.

Perkara yang dilakukan oleh seorang bapa bukan saja akan menjadi ikutan anak, malah emosi yang ditunjukkan oleh mereka juga cepat ditiru dan mempengaruhi pertumbuhan mental mereka.

Seorang bapa juga seharusnya sedar bahawa mereka adalah karakter yang penting dalam mata anak-anak. Maka, cuba ambil peluang untuk menyuntik perkara positif dalam diri anak-anak.

7 Perkara Penting Papa Perlu Ajarkan Pada Anak Lelaki

Berikut adalah cara didik anak lelaki yang patut seorang bapa praktikkan kepada anak.

1. Lelaki Tak Semestinya Kasar

Perkara pertama, seorang bapa perlu menerima seorang anak seadanya. Walaupun lelaki selalu dikaitkan dengan kekuatan, ia tidak semestinya berunsurkan kekasaran.

Malah, anak-anak lelaki perlu tahu bahawa ‘gentleman’ sebenar adalah mereka yang bijak menghormati orang tua, mampu menahan kemarahan, dan tidak menggunakan kekerasan sesuka hati.

2. Jangan Takut Luahkan Perasaan

Oleh kerana anak lelaki sinonim dengan sifat maskulin, Papa jangan lupa bahawa mereka juga mempunyai emosi yang perlu difahami. Malah, sebuah kajian mendapati bahawa anak lelaki sebenarnya lebih sensitif berbanding anak perempuan. Cuma, mereka mempunyai kebolehan yang agak terhad untuk meluahkan perasaan tersebut.

Maka, ajarkan kepada anak cara untuk berterus-terang, mengawal emosi, dan menguruskan perasaan tersebut. Tidak salah bagi seorang lelaki untuk berasa sedih, marah, kecewa, dan mungkin menangis kerana setiap manusia dianugerahkan dengan perasaan.

3. Belajar Memberi, Bukan Hanya Menerima

Sebagai seorang lelaki, mereka perlu dibiasakan dengan tanggungjawab. Ini kerana, lelaki secara semulajadinya adalah seorang pemimpin dalam sebuah keluarga.

Walaubagaimanapun, seorang ketua bukanlah seorang yang hanya mengarah dan mengharapkan anak buahnya. Sebaliknya, merekalah yang perlu turut menjadi pendengar dan peka terhadap keperluan orang yang lebih memerlukan. Biasakan anak melawat orang susah, menghadiri majlis ilmu, dan membuat kerja amal agar mereka dibesarkan sebagai seorang ketua yang penyayang.

4. Lelaki Sebenar Boleh Buat Kerja Rumah

Seorang lelaki tidak seharusnya menganggap kerja-kerja rumah sebagai ‘kerja perempuan’. Malah, anak-anak lelaki patut diberitahu bahawa melakukan kerja rumah adalah sebahagian daripada sunnah Rasulullah.

Setidak-tidaknya kemahiran mengurus diri dapat memanfaatkan masa hadapan mereka dan dapat berdikari tanpa menyusahkan orang lain.

5. Menyayangi Dan Menghormati Wanita

Sehubungan dengan perkara di atas, anak lelaki juga patut diajar untuk menyayangi serta menghormati kaum perempuan. Contoh terdekat yang boleh kita anjurkan adalah melalui adab dengan ibu dan seterusnya adik-beradik atau saudara-mara perempuan.

Jika usia anak masih kecil, cukuplah suami menunjukkan betapa mereka menghargai dan melayani isteri mereka dengan penuh santun dan sabar. Secara tidak langsung, ia akan menjadi ikutan anak anda!

6. Cara Menghadapi Kekalahan

Orang selalu cakap – anak lelaki mesti berani. Anak lelaki mesti kuat. Anak lelaki tak boleh menangis. Sebenarnya, setiap individu mempunyai kelebihan tertentu.

Sungguhpun anak lelaki terlihat kuat dan berani, ada masanya anak lelaki perlu juga menerima kekalahan dan melakukan kesilapan. Ajarkan mereka untuk bangun dan terus berjuang kerana yang penting adalah usaha. Bukannya hasil semata-mata.

7. Jadi Diri Sendiri

Akhir sekali, galakkan anak lelaki anda untuk meneroka potensi diri mereka. Tak perlu jadi stereotaip. Bangkitkan kreativiti dalam diri mereka dan biarlah mereka menikmati zaman kanak-kanak dengan riang.

Yang penting, mereka meletakkan kepercayaan pada ibu bapa untuk sentiasa berada bersama mereka dan menyokong setiap usaha mereka.

cara didik anak lelaki

Papa Pun Boleh Belajar Banyak Perkara Daripada Mereka!

Ternyata, ada banyak unsur positif yang boleh pupuk dalam cara didik anak lelaki masing-masing. Jadi, manfaatkanlah masa berkualiti bersama mereka.

Dalam masa yang sama, kita juga tentu dapat belajar banyak perkara daripada mereka tanpa disangka-sangka. Betul tak?