“Masuk ni, dah 5 kali aku muntah dalam sehari. Perut dah kosong, berangin pula. Nak makan apa, semuanya keluar balik. Aduhai… Lemah rasa badan. Apa nak buat bila asyik muntah ketika hamil ni?”

Muntah ketika hamil atau ‘morning sickness’ yang turut melibatkan rasa mual, loya, dan keletihan adalah perkara yang selalu terjadi. Menurut Medical News Today, ia boleh terjadi kepada 80% wanita hamil.

Sungguhpun ianya digelar ‘morning sickness’, sebenarnya simptom ini boleh terjadi pada bila-bila masa dalam satu hari, tidak terhad kepada waktu pagi sahaja ya. Kebiasaannya, simptom ini akan mula berlaku seawal minggu ke-6 kehamilan dan akan mula berkurang apabila melepasi 12 minggu kehamilan. Walaubagaimanapun, ada yang akan terus mengalami semua simptom ini hinggalah bayi lahir.

Dalam kebanyakan kes, ‘morning sickness’ tidak merbahaya dan anda tidak perlu risaukan kesihatan kandungan anda. Malah, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa simptom ini adalah normal dan merupakan tanda kehamilan yang sihat.

Walaubagaimanapun, terdapat cara untuk anda menghilangkan rasa loya dan muntah ketika hamil supaya ia tidak berpanjangan sehingga mengganggu aktiviti harian anda.

muntah ketika hamil

Foto Kredit: adventisthealth.org

10 Cara Mengatasi Loya dan Muntah Ketika Hamil

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk melegakan rasa loya, mual, dan muntah ketika hamil dengan menggunakan bahan semulajadi.

1. Makan Dalam Kuantiti Kecil

Jika selama ini kita biasa makan 3 hidangan utama setiap hari, mungkin anda boleh memecahkannya kepada 5 hidangan yang lebih kecil.

Apabila makan sedikit demi sedikit, perut akan berasa lebih lega dan tidak terlalu penuh sehingga menyebabkan mual dan muntah.

muntah ketika hamil

Foto Kredit: blog.foodnetwork.com

2. Elak Makanan Pedas Dan Berlemak

Tidak dinafikan ada sesetengah ibu yang minat memakan pedas, berempah, dan berlemak. Tapi, cuba hadkan pengambilan makanan seperti ini kerana ia boleh memicu rasa mual dan ketidakselesaan pada perut.

Jika anda kerap termuntah, cuba makan makanan kering seperti biskut dan roti kosong. Makanan sejuk dan kurang berbau juga biasanya dapat membantu.

Foto Kredit: newhealthadvisor.com

3. Jangan ‘Skip’ Sarapan

Salah satu tabiat yang perlu dielakkan jika anda kerap muntah ketika hamil adalah mengelakkan sarapan. Ambillah sedikit sarapan walaupun sekeping roti ataupun biskut kering. Perut yang kosong boleh menyebabkan anda berasa lemah selain menjadikan perut mudah dimasuki angin.

Foto Kredit: luizpaschoal.com

4. Snek Sihat

Jika anda kurang berselera memakan makanan berat, pastikan anda mendapatkan khasiat yang baik melalui snek sihat. Pilihan terbaik semestinya buah-buahan segar dan salad kerana ia bukan saja berkhasiat, tetapi ia juga mengurangkan rasa mual dan loya.

Selain itu, ibu hamil boleh mengambil buah-buahan kering seperti kurma, aprikot, buah tin, kismis, dan pelbagai pilihan kekacang seperti kacang almond, pistachio, walnut, atau badam sebagai kudapan. Tapi, elakkan daripada memakan snek yang ditambah dengan gula atau garam ya!

5. Banyakkan Minum Air Kosong

Minum lebih banyak air kosong untuk mengimbangi dehidrasi, terutama ketika anda mula terasa mual dan loya.

Jika tidak dapat menelan air kosong, cuba minum jus buah-buahan segar yang dibuat sendiri tanpa gula berlebihan.

6. Teh Halia

Selain air kosong atau jus, anda boleh juga meminum teh herba seperti teh halia atau pudina yang akan memberi efek menyegarkan.

Namun, jangan ambil secara berlebihan dan elakkan herba sebarangan. Baca dahulu labelnya kerana sesetengah herba tidak sesuai untuk diminum oleh wanita hamil.

7. Menghidu Minyak Aromaterapi

Apabila hamil, deria bau wanita biasanya akan menjadi lebih sensitif dan ia boleh menjadi salah satu punca mual serta loya.

Oleh itu, minyak angin atau minyak aromaterapi dapat membantu anda untuk mengurangkan sensitiviti terhadap bau-bauan yang tidak dapat diterima oleh anda.

8. Alihkan Perhatian

Cuba alihkan perhatian dan jangan terlalu memikirkan tentang perasaan loya, mual dan muntah ketika hamil.

Sibukkan diri dan ‘set’kan sasaran anda sebelum tidur supaya anda mempunyai jadual tertentu yang perlu dipenuhi.

Foto Kredit: mamamia.com

9. Hirup Udara Segar

Dapatkan udara segar yang secukupnya. Berjalan-jalanlah di taman pada waktu awal pagi dan petang, terutamanya pada hujung minggu.

Buka langsir dan kipas sekiranya anda bekerja dalam ruang pejabat.

Elakkan memakai baju yang sendat tudung yang terlalu banyak lapisan kerana ia boleh mengganggu pengaliran udara dan menjadikan anda tidak selesa.

10. Dapatkan Rehat Yang Cukup

Akhir sekali, elakkan stres dan pastikan anda mendapat rehat secukupnya untuk menampung keperluan tubuh yang bekerja ‘lebih masa’. Cuba jadualkan waktu tidur siang sebagai salah satu cara untuk mengembalikan tenaga dan menghilangkan rasa letih setiap hari.

Foto Kredit: chiron-project.com

Bila Patut Risau?

Bayi dan anda memerlukan nutrisi untuk memastikan kehamilan dapat berjalan lancar.

Oleh itu, jika anda mengalami penurunan berat badan yang mendadak, muntah berterusan atau muntah darah, dan langsung tidak dapat makan apa-apa sepanjang kehamilan, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor untuk tindakan selanjutnya.