Tips Bayi Baru Lahir untuk Ibu Muda

Melahirkan bayi pertama sememangnya satu pengalaman yang sangat baru dan asing bagi seorang ibu muda. Sepanjang membesarkan anak pertama, banyak benda yang perlu dipelajari dari nak menyesuaikan diri dengan jadual baru sehinggalah nak melayan kerenah si comel baru dalam keluarga.

Harapnya, 5 tips bayi baru lahir yang dikongsikan dapat membantu anda menempuh pengalaman baru ini tanpa pening kepala.

1) Sentiasa bersedia

Kita tak akan pernah tahu apa, dan susah sekali untuk menjangka apa-apa apabila ianya berkenaan dengan bayi baru lahir. Jadi, pastikan anda sentiasa bersedia dan menyediakan keperluan yang lengkap semasa keluar rumah seperti lampin yang banyak, tuala tambahan, pakaian dan sebagainya.

Puting atau botol susu juga mungkin diperlukan, takut-takut bayi anda merengek kelaparan lebih awal daripada yang anda sangka.

2) Jangan segan untuk meminta bantuan

Membesarkan bayi pertama adalah satu tanggungjawab yang besar, dan boleh jadi sangat berat untuk sesetengah orang. Namun, jangan bimbang. Anda tak perlu harungi semuanya seorang diri.

Ada ramai orang lain yang sudi membantu di sekeliling anda. Apabila perlu, jangan segan ataupun malu untuk meminta bantuan daripada suami, ibu bapa, mertua mahupun kawan-kawan.

3) Dapatkan tidur yang cukup

Dalam banyak-banyak benda yang perlu dilalui oleh ibu muda, satu perkara yang paling mencabar kemungkinan besarnya adalah masalah kekurangan tidur. Manakan tidak. Dengan jadual tidur bayi yang kadangkala tidak menentu, anda mungkin terpaksa bersengkang mata di tengah malam demi mereka.

Jadi, apabila bayi anda tidur pada waktu pagi, anda boleh berbaring dan melelapkan mata bersama-sama. Walaupun anda mungkin tak tidur nyenyak, sekurang-kurangnya dapat merehatkan badan yang keletihan.

4) Biar bayi anda beritahu apa yang diperlukannya

Semasa membesarkan bayi anda, tidak semestinya perlu untuk anda memaksa mereka mengikut jadual. Sebaliknya, anda boleh cuba merasai apa yang mungkin diperlukannya buat beberapa hari.

Biarkan dia makan apabila dia mahu, berbanding memberikan makanan setiap dua jam. Mungkin bayi anda sebenarnya tidak perlu pun untuk makan sebanyak itu, terutamanya buat beberapa minggu pertama.

5) Pastikan kerusi kereta bayi anda selamat

Keselamatan bayi anda adalah perkara yang paling utama perlu anda titikberatkan sentiasa. Sekiranya kerusi kereta bayi anda tidak dipasang dengan betul, keselamatan bayi anda tidak akan terjaga dengan sepenuhnya semasa di dalam kereta.

Sekiranya perlu, anda boleh minta bantuan sesiapa yang mahir untuk mereka pasangkan dengan baik. Bila ianya berkaitan dengan keselamatan, jangan main agak sahaja. Antara yang lain, tips bayi baru lahir ini adalah antara yang terpenting.